
CYBERJAYA – Hasrat penduduk Perlis untuk melihat pusat beli belah, Malakat Mall beroperasi di negeri utara tanah air itu bakal menjadi kenyataan selepas ini jika tiada berlaku sebarang aral melintang.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malakat Eco, Mohd Fadzil Hashim berkata, ini selepas pihaknya mendapat tawaran daripada kerajaan negeri Perlis untuk membuka pusat beli belah di negeri paling utara Semenanjung itu.
“Terbaharu kita dapat tawaran daripada kerajaan negeri untuk buka Malakat Mall di sana, bagaimanapun perkara ini belum rasmi lagi tapi mereka beminat. Mereka sendiri berminat hendak melabur,” katanya dalam sesi Live Facebook.
Mengulas lanjut, beliau yang lebih dikenali sebagai Coach Fadzil berkata, bagaimanapun usaha untuk membuka lebih banyak cawangan pusat beli belah itu tidak dapat dijayakan jika orang ramai terutamanya pengguna Islam tidak memberikan sokongan dan bersatu padu.
Sehubungan itu, Coach Fadzil mengajak pengguna Islam secara beramai-ramai menterjemahkan sokongan tersebut melalui Koperasi Pembangunan Pengguna Islam Malaysia (KoPPIM) yang merupakan platform terbaik bagi menggerakkan ekosistem ekonomi Islam tapa riba.
“Marilah kita semua bersatu di bawah platform KoPPIM, ini adalah platform terbaik, semua ahli adalah pemilik bersama. Sekarang kita sudah ada sebanyak 27,000 ahli KoPPIM.

“Kalau setiap ahli KoPPIM berjaya dapatkan 10 orang kita sudah ada 270,000 ahli dan kalau 270,000 ahli dapatkan lagi 10 orang kita akan ada sebanyak 2.7 juta ahli.
“Bagaimanapun, buat masa ini kita sasarkan sebanyak satu juta keahlian dengan membuat pelaburan atau membuat simpanan khas sebanyak RM100 sebulan. Dengan jumah itu, dalam sebulan kita sudah ada dana RM100 juta dan dalam tempoh setahun kita sudah miliki dana RM1.2 bilion,” katanya.
Beliau berkata, menerusi dana-dana tersebut akan digunakan bagi meningkatkan lagi ekonomi Islam, mengambil alih perniagaan yang dimonopoli bangsa asing dan membantu peniaga Muslim mendapatkan pinjaman tanpa riba.
“Dengan dana RM1.2 bilion berapa banyak usahawan yang kita boleh bantu? Kita boleh belikan kilang tanpa pinjaman riba.
“Sekarang kalau kita lihat banyak usahawan kita hanya memiliki kilang di kawasan yang jauh, ini kerana di Puchong sahaja harga paling murah sekitar RM5 juta.
“Kalau menerusi koperasi, kita boleh beli kilang ini dan caj harga melalui kaedah perkongsian keuntungan atau perkongsian jualan. Akhirnya dana ini akan balik semula kepada KoPPIM,” ujarnya.-MT