Malaysia atasi negara ASEAN lain dalam pemberian vaksin Covid-19

0
151
Tan Sri Muhyiddin Yassin (dua dari kanan) berkata sesuatu kepada seorang penerima vaksin semalam

CYBERJAYA – Malaysia berjaya mengatasi negara ASEAN lain dalam pemberian vaksinasi dengan lebih tiga juta penerima telah menerima suntikan dos vaksin Covid-19.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pencapaian itu tidak mudah kerana bekalan vaksin adalah di luar kawalan negara.

“Malaysia perlu bersaing dengan negara-negara lain dan bergantung kepada pengeluar vaksin untuk mendapatkan bekalan.

“Bagaimanapun hasil persediaan awal kerajaan, kita telah berjaya menjamin bekalan vaksin yang mencukupi, malah melebihi daripada apa yang disasarkan sebelum ini,” katanya ketika berucap berhubung perkembangan 100 hari Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Muhyiddin berkata, program vaksinasi Covid-19 adalah sangat penting bagi melindungi seluruh rakyat Malaysia daripada risiko jangkitan yang lebih teruk dan menyelamatkan nyawa, seterusnya membantu proses menjana semula ekonomi negara.

Sehingga hari ini, katanya, kerajaan telah memberikan lebih 3 juta suntikan dos vaksin, dengan lebih 2 juta penerima telah menerima satu suntikan dos vaksin Covid-19.

Mengulas lanjut, katanya, beliau juga telah mengarahkan Menteri Penyelaras, Khairy Jamaluddin untuk memastikan bilangan pusat pemberian vaksin (PPV) ditambah di seluruh pelosok negara bagi mempercepatkan dan mempermudahkan pemberian vaksin kepada anda semua.

“Insya-Allah, sasaran kita supaya 80 peratus populasi Malaysia diberikan suntikan vaksin sebelum akhir tahun ini, akan tercapai. Namun begitu, ingin saya ingatkan, ini hanya dapat dicapai dengan kerjasama anda semua.

“Pada masa ini, lebih 280 PPV sedang beroperasi di seluruh negara dan dijangka lebih 300 PPV lagi akan dibuka secepat mungkin. Sementara itu, sebanyak 105 klinik kesihatan Kementerian Kesihatan, dewan-dewan awam dan universiti serta kompleks sukan dan stadium tertutup telahpun beroperasi,” ujarnya.

Tambahnya, beberapa PPV mega juga telah diwujudkan dan jumlah ini akan terus ditambah dalam masa terdekat terutamanya di kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi seperti di Lembah Klang, Johor, Penang dan Sarawak, selari dengan penambahan stok vaksin.

“Saya sendiri telah melawat beberapa PPV termasuk 2 PPV mega iaitu di WTC dan MITEC bagi melihat sendiri proses pemberian vaksin ini.

“Dari maklumbalas yang saya terima ketika lawatan lawatan ke PPV ini, ramai yang menyambut baik usaha kerajaan untuk memvaksinasikan rakyat.

“Namun saya juga turut menerima cadangan cadangan konstruktif untuk memperbaiki proses vaksinasi di pusat pusat ini, dan perkara ini telah saya maklumkan kepada Khairy dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba untuk diambil tindakan segera,” katanya.

Sementara itu, katanya, untuk mempercepatkan lagi pelaksanaan program vaksinasi, kerajaan juga telah melibatkan pusat dan klinik perubatan swasta dalam program vaksinasi kebangsaan ini.

Jelasnya, pada penghujung Jun ini sebanyak 1,000 Klinik Perubatan Swasta atau PPVGP disasarkan akan terlibat dalam PICK.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here