Malaysia gagal manfaatkan peluang kedua selepas tumpas 1-2 kepada Vietnam

0
150
De Paula berjaya menjaringkan gol tunggal untuk Malaysia dalam perlawanan tersebut

DUBAI – Harapan tinggi yang diletakkan ke atas pasukan Harimau Malaya untuk menewaskan Vietnam dalam pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 tidak kesampaian apabila dikecewakan oleh pendahulu Kumpulan G tersebut.

Pasukan negara yang turun beraksi di Stadium Al Maktoum, Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) tewas 1-2 kepada Vietnam.

Vietnam berjaya mendahului pada minit ke-27 menerusi gol jaringan Nguyen Tien Linh yang berjaya menanduk kemas untuk menewaskan Farizal Marlias.

Masuk separuh masa kedua, pasukan kebangsaan terus menggandakan asakan dengan kemasukan tenaga baharu iaitu Nazmi Faiz Mansor, Akhyar Rashid dan Arif Aiman bagi menggantikan Syafiq Ahmad, Safawi Rasid dan Sumareh.

Kemasukan ketiga-tiga pemain itu mengubah rentak permainan negara sehingga berjaya mendapatkan sepakan penalti selepas penyerang negara, Guilherme de Paula dijatuhkan dalam kotak penalti oleh pemain pertahanan Vietnam.

De Paula yang menampilkan aksi kurang memberangsangkan dalam perlawanan menentang UAE sebelum ini tidak menghadapi masalah untuk menjadikan kedudukan 1-1 pada minit ke-72 perlawanan.

Skuad kebangsaan kemudiannya terus menggandakan asakan untuk memburu kemenangan bagaimanapun nasib malang menimpa apabila Vietnam dihadiahkan sepakan penalti kontroversi.

Keputusan penuh perlawanan

Sepakan penalti itu berjaya disudahkan oleh Que Ngoc Hai pada minit ke-82 dengan mudah.

Malaysia terus cuba memburu gol penyamaan sehingga minit-minit terakhir perlawanan namun terpaksa akur dengan disiplin tinggi ditunjukkan barisan pemain Vietnam dalam mempertahankan kubu mereka daripada dibolosi.

Dengan kekalahan tersebut harapan Malaysia untuk ke pusingan berikutnya dalam pusingan kelayakan telah tertutup rapat.

Malaysia sebelum ini yang tewas 0-4 kepada UAE masih berpeluang ke pusingan seterusnya jika berjaya mengutip mata maksimum apabila bertemu Vietnam dan Thailand.

Bagaimanapun dengan kekalahan kepada Vietnam menyaksikan pasukan tersebut kekal berada di tangga teratas kumpulan diikuti UAE yang berada di tangga kedua manakala Malaysia di tangga keempat di belakang Thailand dengan berkongsi sama mata.

Untuk aksi terakhir Malaysia akan bertemu Thailand untuk perlawanan melengkapkan jadual.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here