Malaysia sasar beri 150,000 vaksinasi sehari

0
33
Gambar hiasan

CYBERJAYA – Lebih 16 juta dos vaksin Covid-19 bakal tiba dalam tempoh dua bulan akan datang sekali gus akan meningkatkan lagi kadar vaksinasi harian negara berbanding sekarang.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan menyasarkan pertambahan 50,000 lagi kadar vaksinasi harian berbanding sekarang sekitar 100,000 sehari.

“Untuk tempoh dua bulan akan datang, kita akan menerima sekitar 16 juta dos vaksin Covid-19.

“Dengan pertambahan bekalan vaksin ini, kerajaan menyasarkan kadar vaksinasi harian akan mencecah 150,000 pada bulan ini dan angka ini akan terus meningkat,” katanya ketika berucap berhubung perkembangan 100 hari Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, pelaksanaan PICK berjaya dijalankan sejak bermula fasa pertama 24 Februari lalu, malah, melepasi sasaran yang ditetapkan.

Menurut beliau, pada permulaan program ini, kira-kira 5,000 hingga 8,000 suntikan vaksin diberikan setiap hari dan kini berjaya meningkatkan suntikan vaksin harian sekitar 100,000 sehari.

“Usaha ini tidak dapat dijayakan tanpa perancangan rapi kerajaan dan pengorbanan petugas barisan hadapan serta sukarelawan yang terlibat.

“Daripada Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin Covid-19 (JKJAV), vaksinator, doktor, jururawat, sehinggalah anggota PDRM, ATM, RELA, APM dan para sukarelawan, syabas dan terima kasih atas dedikasi dan kerja keras saudara-saudari bagi memastikan program vaksinasi terbesar dalam sejarah negara kita ini berjaya dilaksanakan,” katanya.

Muhyiddin berkata, kerajaan komited dan terus berusaha sebaik mungkin bagi memastikan program vaksinasi berjalan dengan lancar dan teratur.

Bagaimanapun, beliau mengakui masih terdapat kelemahan yang perlu diperbaiki dan beliau memberi komitmen bahawa kerajaan akan sentiasa menambah baik program ini dari semasa ke semasa.

Sebagai kerajaan yang prihatin, kata beliau, sentiasa mendengar keluhan dan maklum balas rakyat dan akan meningkatkan keupayaan dari segi perancangan, kapasiti dan tenaga kerja bagi mencapai objektif utama sasaran kita iaitu imuniti berkelompok.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here