Malaysia tidak dibenarkan sertai Olimpik Tokyo 2020?

0
127
Olimpik Tokyo 2020 sepatutnya diadakan pada tahun lalu namun, ditangguhkan ke tahun ini ekoran pandemik Covid-19

CYBERJAYA – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengambil maklum berkenaan laporan media mengenai 10 buah negara yang berkemungkinan tidak dibenarkan menyertai temasya Olimpik Tokyo 2020 termasuklah Malaysia.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, pihaknya akan mendapatkan pengesahan dan maklumat terperinci dari Kementerian Luar dan Kedutaan Malaysia di Jepun berhubung perkara itu.

Reezal Merican berkata, laporan berkenaan juga berkait dengan senarai 159 buah negara yang dihalang daripada memasuki negara Jepun seperti mana siaran pemakluman oleh Kementerian Luar Negeri Jepun.

“Siaran pemakluman tersebut juga turut menyentuh pengecualian yang boleh diberikan kepada beberapa kategori rakyat asing termasuklah ‘athletes and other persons concerned with Olympic and Paralympic Games Tokyo 2020’.

“KBS telah mengarahkan Majlis Sukan Negara (MSN) supaya berhubung dan berbincang dengan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) serta semua pihak yang berkaitan untuk mendapat pengesahan dan maklumat terperinci berkenaan perkara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Reezal Merican, KBS juga sentiasa berhubung rapat dengan pihak Kementerian Luar dan Kedutaan Malaysia di Jepun bagi mendapatkan sebarang perkembangan lanjut.

Katanya lagi, buat masa ini, momentum persiapan atlet negara berada pada tahap yang baik termasuklah persediaan latihan fizikal dan mental ke temasya Olimpik Tokyo 2020 yang akan berlangsung kira-kira 46 hari sahaja lagi.

“Di samping persiapan terbaik untuk atlet, KBS akan sentiasa memastikan keselamatan dan kesihatan atlet, jurulatih serta pegawai yang terlibat sebagai keutamaan.

“KBS akan memaklumkan perkembangan terkini berkenaan perkara ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” tegasnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here