Malaysia tidak hantar jemaah pada musim haji tahun ini

0
95
Mekah semasa covid
Mekah semasa Covid-19

CYBERJAYA – Malaysia tidak akan menghantar jemaah haji bagi musim haji tahun ini selepas Arab Saudi memutuskan hanya membenarkan rakyatnya dan penduduk negara lain yang telah berada di negara tersebut untuk menunaikan rukun Islam kelima itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata, perkembangan itu dimaklumkan oleh Timbalan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Abdelfattah Sulaiman Mashat sebentar tadi kepadanya bahawa Arab Saudi menghadkan penglibatan jemaah haji pada musim haji tahun ini berikutan penularan wabak Covid-19.

Berikutan itu, katanya, pihaknya akan memastikan segala urusan rakyat Malaysia yang berada di Arab Saudi dan terpilih untuk melaksanakan ibadah tersebut diuruskan dengan sebaiknya oleh Lembaga Tabung Haji.

“Saya memohon maaf kepada semua bakal jemaah haji yang amat cinta dan rindukan dua Tanah Suci kerana terpaksa menangguhkan ibadah haji pada tahun ini.

Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri

“Keputusan itu sudat pasti amat berat dan sukar untuk diterima tetapi kita tetap yakin dengan hikmah di sebalik keputusan tersebut.

“Sesungguhnya memelihara nyawa adalah salah satu daripada prinsip maqasid syariah yang sentiasa dijunjung oleh Malaysia dalam mengambil sebarang keputusan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Raja Salman Abdulaziz dan kerajaan Arab Saudi yang sentiasa menjaga dan memelihara hubungan baik dengan Malaysia.

Katanya, hal tersebut akan menambahkan lagi keakraban hubungan dua hala antara dua negara yang sudah kukuh sejak sekian lama.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here