Maqis Kelantan serah 1.5 tan ayam sejuk beku kepada Zoo Negara

0
119
Gambar hiasan.

CYBERJAYA – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Kelantan menyerahkan 1.5 tan ayam sejuk beku yang dilucutkan hak kepada Zoo Negara.

Selain itu, Maqis Kelantan turut menyerahkan 500 kilogram bekalan ayam sejuk beku kepada Penjara Penor di Pahang untuk kegunaan makanan ikan keli ternakan yang diusahakan banduan penjara berkenaan.

Pengarah Maqis Kelantan, Roslan Che At berkata, serahan bekalan ayam yang dilucutkan hak atas pelbagai kesalahan permit itu diharap dapat memberi manfaat kepada pihak yang memerlukannya.

“Kesemua keluaran pertanian telah melalui proses lucut hak mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728],” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Roslan berkata, penyerahan bekalan ayam bernilai RM15,000 kepada Zoo Negara itu juga diharap dapat mengurangkan beban kos yang ditanggung pihak pengurusan terutama sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini.

Zoo Negara sebelum ini dilaporkan mengalami masalah kekurangan dana untuk menampung kos pembekalan makanan haiwan ekoran kemerosotan jumlah pelawat sejak penularan pandemik Covid-19.

Sejak itu juga, pihak Zoo Negara juga memperkenalkan program ‘haiwan angkat’ yang memberi peluang kepada individu dan pihak swasta menyumbang kepada tabung berkenaan.

Dalam pada itu Roslan berkata, pihaknya akan memperketatkan kawalan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di seluruh negeri ini bagi memantau setiap keluaran pertanian yang masuk ke Malaysia.

“Maqis Kelantan juga tidak akan berkompromi dalam melibatkan aspek halal kerana ia perkara paling dititik beratkan oleh umat Islam di negara ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here