MAQIS rampas 25,000 kilogram kubis bulat dari China

0
215
Kubis bulat

SHAH ALAM – Sebanyak 25,000 kilogram kubis bulat dari China dirampas kerana dipercayai mempunyai serangga perosak jenis ‘Plutella xylotella Linn’.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Selangor, Zamri Hashim berkata, kubis itu dirampas di Pelabuhan Klang semalam.

“Pemeriksaan mendapati kubis bulat yang cuba dibawa masuk dari China itu dipercayai mempunyai lebih daripada seekor serangga perosak pada setiap kubis yang diimport.

“Beberapa sampel telah diambil dan masih dalam siasatan. Kesemua barang dagangan tersebut telah ditahan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Zamri, kes akan disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] iaitu mengimport keluaran pertanian yang dipercayai mempunyai perosak.

“Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Dalam pada itu katanya, adalah menjadi keutamaan MAQIS untuk sentiasa teliti dan cekap dalam menjalankan pemeriksaan terhadap keluaran pertanian yang diimport ke Malaysia,

“Ia bagi menjamin setiap keluaran pertanian terbabit tiada perosak, penyakit atau bahan cemar serta mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan kerajaan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here