
CYBERJAYA – Rakyat Malaysia khususnya umat Islam di negara ini perlu menyatakan sokongan kepada syarikat Serba Dinamik Holdings Berhad (Serba Dinamik) dengan membeli saham syarikat penyedia perkhidmatan minyak dan gas itu.
Pengasas Malakat Mall, Mohd Fadzil Hashim berkata, pembelian sekurang-kurangnya satu lot saham syarikat itu diharap akan membantu syarikat itu mengukuhkan semula prestasi korporatnya selepas kemelut yang berlaku baru-baru ini.
“Saya difahamkan satu unit saham Serba Dinamik kini berharga 34 sen dan dengan harga RM680 anda boleh memiliki satu lot saham.
“Pembelian saham ini adalah peluang terbaik untuk mendapat keuntungan dan manfaat apabila syarikat yang sudah 27 tahun bertapak sebagai pemain utama industri itu kembali stabil,” katanya pada sesi Live Facebooknya hari ini.
Mohd Fadzil atau lebih dikenali sebagai Coach Fadzil berkata, selain pembelian oleh individu, peluang pelaburan itu juga wajar direbut oleh koperasi-koperasi di seluruh negara.
“Pembelian saham ini adalah sebagai tanda solidariti kita sesama umat Islam. Pada masa yang sama kita rebut peluang untuk membuat keuntungan.
“Saya bagaimanapun tidak mempunyai sebarang kepentingan dalam usaha ini. Ini tidak lebih daripada membantu saudara sesama Islam kerana syarikat itu milik bumiputera,” katanya.
Mohd Fadzil mengulas isu pembelian saham Serba Dinamik selepas menyuarakan pendapatnya dalam sidang media bersama Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan.

Dalam sidang media itu, Mohd Fadzil berpendapat masalah yang berlaku dalam syarikat bertaraf global itu berkemungkinan disebabkan oleh serangan tangan-tangan ghaib yang mahu menjatuhkan kredibiliti syarikat itu.
Mengulas lanjut, beliau berkata, orang ramai kini boleh membuat pembelian saham dengan memuat turun aplikasi Bursa Anywhere dan mendaftar.
“Kebetulan ramai yang bertanya saya macam mana cara nak beli saham. Saya pun tidak pernah beli dan selepas menghubungi Bursa Malaysia, saya boleh kongsikan sedikit.
“Jika pendaftaran tidak berjaya melalui aplikasi, anda boleh menghantar emel kepada [email protected] dengan menyertakan nama, nombor kad pengenalan dan nombor telefon.
“Insyallah pertanyaan akan dijawab dan anda diberikan trace password dan kemudian boleh mula dari situ,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menasihatkan orang ramai untuk mendapatkan seorang remiser yang dapat menerangkan selok belok dunia saham sebelum membuat pelaburan.-MT