
MELAKA – Kerajaan Melaka membenarkan 100 jemaah solat Jumaat bagi tujuh masjid kerajaan dan 50 orang di masjid dan surau Jumaat di kariah seluruh negeri bermula esok.
Tujuh masjid kerajaan ialah masjid yang ditadbir secara terus oleh Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim)
Manakala masjid dan surau Jumaat adalah yang ditadbir oleh pengerusi dan ahli jawatankuasa (AJK) dipilih anak kariah masing-masing.
Bagaimanapun, Pengarah Jaim, Datuk Che Shukri Che Mat berkata, jemaah solat fardu dan solat jenazah kekal 12 orang seperti yang ditetapkan sejak sekatan pergerakan penuh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang dilaksanakan sejak 1 Jun lalu lalu.
“Berdasarkan situasi semasa, Kerajaan Melaka melalui keputusan Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri Melaka yang bersidang pada 16 Jun 2021 bersetuju mengeluarkan ketetapan baharu berkaitan jumlah maksimum jemaah solat Jumaat,” katanya dalam kenyataannya hari ini.
Bagaimanapun, aktiviti lain di masjid masih ditangguhkan, iaitu majlis bacaan surah Yasin dan tahlil, ceramah agama, akad nikah, kursus, bengkel, jamuan dan gotong-royong.
“Jaim berhak menarik semula kebenaran itu jika masjid atau surau didapati tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan berkaitan pandemik Covid-19,” katanya.
Sebelum ini, jemaah solat Jumaat dan fardu di masjid di negeri ini dihadkan hanya 12 orang berikutan sekatan pergerakan penuh PKP 3.0 di seluruh negara mulai 1 Jun lalu hingga 28 Jun ini.