Menteri bagi bayangan PKP penuh dilanjutkan

0
629
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba.

CYBERJAYA – Tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh atau total lockdown dijangka dilanjutkan selepas berakhirnya fasa pertama pada 14 Jun ini.

Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba memberikan bayangan itu dengan berkata, kerajaan perlu meneruskan total lockdown ekoran kadar pengesanan kes harian Covid-19 yang masih tinggi melebihi sasaran 4,000 kes sehari, sebelum ini.

Bagaimanapun Dr. Adham berkata, pelaksanaan PKP penuh itu telah menunjukkan keberkesanan apabila dua indikator penting iaitu kadar kebolehjangkitan Covid-19 (Rt) turun kepada 0.96 Rt dan kes harian purata berada di bawah 7,000 kes sehari.

“Namun, selepas lapan hari pelaksanaan PKP penuh, kes masih melebihi 5,000 sehari dengan purata kes baharu sehingga semalam ialah 6,871 iaitu melebihi nilai ambang yang disasarkan iaitu purata 4,000 kes ke bawah dalam tempoh tujuh hari.

“Sehingga kini, kita merekodkan penurunan kes harian yang meyakinkan maka KKM berpandangan kerajaan patut meneruskan kaedah pelaksanaan PKP penuh di seluruh negara,” katanya pada sidang media mingguan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) bersama Menteri Penyelaras Program Iminusasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaludin secara maya hari ini.

Adham berkata, masyarakat dinasihatkan untuk terus mengikuti amalan prosedur operasi standard (SOP) seperti penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka dan penggunaan cecair pembasmi kuman.

Dalam pada itu beliau berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) akan menggerakkan doktor pelatih di hospital awam ke pusat-pusat vaksin sebagai penyuntik vaksin bagi membantu negara mencapai kadar vaksinasi yang tinggi.

Katanya, pelatih yang sudah mencapai tahap penempatan juga akan ditugaskan untuk mengurus kes Covid-19 di pusat pemantauan.

“Kita juga akan memanggil mereka (kakitangan perubatan) yang sudah pencen atau menamatkan perkhidmatan awal untuk memberi tumpuan bagi membantu negara bagi program vaksinasi.

“Begitu juga dengan mereka yang sudah bergraduasi dari sekolah perubatan membabitkan doktor, doktor gigi, jururawat dan pembantu perubatan akan diberikan latihan serta lesen amalan untuk mengendalikan pusat vaksinasi,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here