Mesir sedia bantu Malaysia untuk salur bantuan kepada Palestin

0
66
Sidang video kedua-dua pemimpin itu semalam-FB Perdana Menteri

CYBERJAYA- Mesir telah menyatakan kesediaan mereka untuk membantu Malaysia dalam usaha penyaluran bantu  kemanusiaan dan perubatan kepada Palestin.

Perkara berkenaan dinyatakan Presiden Mesir Abdel Fattah el-Sisi kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam persidangan video kedua-dua pemimpin itu semalam.

Menurut Muhyiddin, bantuan kepada Palestin boleh disalurkan melalui sempadan Rajah iaitu satu-satunya pintu masuk yang menghubungkan Mesir dan Gaza.

“Alhamdulillah, Tuan Yang Terutama (TYT) Presiden menyatakan kesediaan Kerajaan Mesir membantu Malaysia bagi penyaluran bantuan kepada Palestin,” katanya dalam kenyataan di laman Facebooknya hari ini.

Selain itu katanya, perbincangan julung kali itu juga turut mencapai persefahaman untuk meningkatkan kerjasama perdagangan bagi mengeratkan semula hubungan kedua-dua negara.

“Ia melibatkan isu-isu kepentingan bersama dalam bidang ekonomi, perdagangan, pendidikan, pelancongan dan pembangunan infrastruktur.

“Saya mengambil inisiatif mengemukakan pandangan bahawa sudah tiba masanya untuk Malaysia mengeratkan semula hubungan dengan Mesir, yang mana TYT Abdel Fattah Al Sisi menyambut baik cadangan ini, dan mengalu-alukan perbincangan melibatkan pemimpin tertinggi kedua-dua negara dilakukan segera,” katanya.

Muhyiddin berkata, Kerajaan Malaysia juga merakamkan penghargaan kepada kerajaan Mesir atas peluang pendidikan yang telah diberikan kepada rakyat negara ini untuk melanjutkan pelajaran di negara berkenaan.

Katanya, ketika ini terdapat kira-kira 8,000 pelajar Malaysia sedang mengikuti pengajian dalam pelbagai bidang seperti pengajian Islam, perubatan dan pergigian di beberapa universiti di negara itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here