Moratarium: Kerajaan boleh ‘paksa’ bank jika tahu guna kuasa

0
92
Dr Asyraf Wajdi Dusuki

CYBERJAYA – Dakwaan Menteri kewangan bahawa kerajaan tidak mempunyai kuasa untuk mengarahkan bank-bank memberikan moratarium secara automatik tidak boleh digunapakai.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pihaknya kecewa dengan alasan ‘simplistic’ yang dikeluarkan oleh oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz.

Menurut Asyraf, kuasa yang dimiliki oleh seorang Menteri Kewangan yang amat besar hingga boleh mengarahkan mahupun mengatasi (overule) sebarang keputusan BNM apatah lagi bank-bank komersil.

Kuasa besar yang dimiliki kerajaan itu dijelaskan beliau dalam 3 ‘punca kuasa’ yang memberi peruntukan untuk kerajaan melalui Menteri Kewangan mengarahkan Bank-Bank menawarkan Moratorium secara automatik.

“Seksyen 72 dalam Akta Bank Negara Malaysia 2009 (Akta 701) secara jelas memberikan peruntukan kuasa kepada Jemaah Menteri (Kerajaan) untuk ‘Overrule’ atau membatalkan sebarang keputusan yang dibuat Bank Negara Malaysia (BNM), manakala BNM sebagai pelaksana dasar perlu patuh kepada sebarang arahan Menteri bertanggungjawab.

“Seksyen 6 dan 7 dalam Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758) juga memberikan peruntukan kuasa yang jelas untuk Menteri Kewangan mengarahkan melalui BNM berkenaan dasar-dasar yang berkaitan dalam kewangan dan perbankan.

“Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 memberikan Kerajaan kuasa penuh untuk mengadakan sebarang peraturan baharu mahupun mengatasi (overule) sebarang undang-undang bertulis sedia ada demi mencapai matlamat Proklamasi Darurat.

“Bahkan tanpa Ordinan Darurat seperti sekarang pun, dua undang-undang sedia ada memperuntukkan kuasa itu,” katanya dalam hantaran di Facebook miliknya.

Beliau berkata, selain kuasa yang diperuntukan oleh undang-undang bertulis, kerajaan juga boleh menggunakan kuasa melalui pegangan saham yang dimiliki dalam bank-bank utama melalui GLC/GLIC.

“Contohnya: Tabung Haji, KWSP, PNB dan KWAP memiliki 82% pegangan saham dalam Bank Islam. Khazanah Nasional pula memiliki 30% dalam Bank Muamalat. PNB, KWSP dan KWAP memiliki 62% dalam Maybank dan 62.1% CIMB Bank,” katanya.

Justeru, beliau menyarankan agar kerajaan memanfaatkan sepenuhnya kuasa yang ada sebagaimana yang dinyatakan untuk mengarahkan bank-bank menawarkan moratarium kepada rakyat tanpa caj atau faedah tambahan selama 3 bulan dan tidak terhad kepada hanya golongan B40.

“Mereka (bank) ternyata mencatat keuntungan mencecah berbilion ringgit hanya pada suku tahun pertama 2021 sahaja. Takkan bagi moratarium pun tak boleh,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here