
CYBERJAYA – Kementerian Pengangkutan (MOT) mula melaksanakan program pemberian vaksin kepada petugas sektor pengangkutan, hari ini.
Program pemberian ini dimulakan dengan petugas di sektor maritim, yang menerima vaksin mereka di pusat pemberian vaksin (PPV) swasta yang dikendalikan oleh Lembaga Pelabuhan Klang (LPK), hari ini.
“Syarikat-syarikat pengangkutan yang terlibat dengan program ini akan menanggung secara bersama kos penyediaan PPV manakala bekalan vaksin diberikan secara percuma oleh kerajaan,” kata Menteri Pengangkutan, Dr. Wee Ka Siong.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke PPV Sektor Pengangkutan (Maritim) di Dewan Kelab Sukan LPK, di Klang, hari ini.
Hadir sama, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin.
“Dalam jangka masa terdekat ini, seramai 19,259 petugas pengangkutan awam darat seperti petugas rel dan pemandu bas akan turut diberi vaksin,” kata Dr. Wee.
Dr. Wee kemudiannya menambah, petugas sektor udara akan diberikan vaksin bermula 5 Julai depan di Bangunan Terminal Utama KLIA.
“Bagi sektor petugas udara, ia akan melibatkan melibatkan 22,243 petugas,” katanya.