Najib saran kerajaan beli vaksin lebihan dari Amerika Syarikat

0
169
Malaysia’s Prime Minister Najib Razak attends the opening of the new World Bank offices in Kuala Lumpur, Malaysia, March 28, 2016. REUTERS/Olivia Harris – RTSCHG1

CYBERJAYA – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa kerajaan berusaha mendapatkan lebihan bekalan vaksin Covid-19 dari Amerika Syarikat yang kini ditawarkan kepada negara yang memerlukan.

Najib berkata, sekiranya kerajaan sekarang masih mempunyai hubungan yang baik dengan negara itu, usaha itu perlu dilakukan segera memandangkan situasi semasa Covid-19 negara yang meruncing.

“Sekiranya hubungan Malaysia dengan Amerika Syarikat masih baik, kerajaan patut berunding dengan Amerika untuk membeli vaksin dari stok kerajaan mereka agar kadar vaksinasi Malaysia boleh dipercepatkan dan kita mencapai imuniti kelompok untuk bebas Covid secepat mungkin,” katanya hari ini.

Najib berkata, beliau pernah menyuarakan perkara itu pada April lalu dengan meminta kerajaan segera berunding dengan AS untuk membeli stok vaksin berlebihan mereka.

“Masa itu, saya lihat program vaksinasi Amerika Syarikat hampir selesai dan mereka sudah selesa bahawa bekalan vaksin sedia ada sudah cukup untuk warga mereka.

“Masa itu, kadar vaksinasi mereka jatuh dari hampir 4 juta dos sehari ke sekitar 2.7 juta dos sehari,” katanya.

Najib berkata, berdasarkan kadar vaksin di negara itu sudah mencapai 1 juta dos sehari semalam berbanding 4 juta dos pada April, bekalan stok vaksin di AS sekarang semakin melimpah.

Katanya, Isnin lalu Presiden AS, Joe Biden mengumumkan bahawa mereka akan mengedarkan lebih stok vaksin sebanyak 80 juta dos iaitu 20 juta dos vaksin Pfizer, Moderna dan Johnson & Johnson serta 60 juta dos AstraZeneca.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, dari segi kes dan kematian baharu akibat Covid-19, Malaysia antara negara paling parah dan telah jauh melepasi AS dan India.

“Sebab itu, saya percaya Malaysia layak untuk diberi prioriti apabila kriteria AS untuk pemberian vaksin diumumkan,” katanya sambil memaklumkan cadangan ini perlu dikemukakan beliau sebelum ini.

Najib berkata, selain AS, negara United Kingdom juga antara negara yang dijangka akan selesai dengan program vaksinasi mereka dan akan ada stok atau tempahan berlebihan yang tidak dapat digunakan mereka.

“Kita bukan mahu mereka bersedekah pada kita tapi kita mahu membeli daripada mereka pada harga pasaran agar stok segera sampai ke tangan penerima. Tak salah untuk cuba. Belum cuba, belum tahu,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here