Neelofa sumbang katil untuk kegunaan pesakit Covid-19 di Hospital Melaka

0
118
Gambar katil sumbangan usahawan selebriti itu yang tular di media sosial

CYBERJAYA – Selebriti yang juga usahawan terkenal, Neelofa tampil membantu negara dalam memerangi wabak Covid-19 dengan menyalurkan sumbangan berupa kelengkapan katil untuk Hospital Melaka yang bernilai hampir RM100,000.

Menurut pemilik nama lengkap Noor Neelofa Mohd Noor, 32, sumbangan tersebut dibuat selepas melihat peningkatan jumlah pesakit Covid-19 setiap hari.

“Rasa terpanggil untuk menghulurkan bantuan terutama selepas melihat keadaan hospital yang semakin sesak kerana terpaksa menampung jumlah pesakit Covid- 19 yang kian ramai.

“Jadi, saya ingin memainkan peranan untuk meringankan beban komuniti dan rakyat Malaysia, sekali gus membantu menangani pandemik ini. Saya harap dengan sumbangan yang kecil dan tidak seberapa ini dapat melancarkan proses pemulihan pesakit Covid-19,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, isteri kepada pendakwah bebas, Haris Ismail atau lebih dikenali sebagai PU Riz itu turut merancang untuk memberikan sumbangan kepada beberapa lagi buah hospital utama di seluruh Malaysia.

Tangkap layar hantaran seorang pengguna media sosial yang mengucapkan terima kasih kepada usahawan selebriti itu di atas sumbangan diberikan

“Insya-Allah, kita akan cuba sebaik mungkin untuk membantu sebanyak mana hospital yang boleh.

“Saya juga ingin membantu mereka yang terjejas akibat pandemik. Jika ingin dapatkan bantuan, anda dialu-alukan untuk menghubungi pertubuhan saya menerusi media sosial rasmi atau melalui media sosial milik saya,” ujarnya.

Sejak semalam tular di media sosial hantaran seorang petugas di Hospital Melaka yang memuat naik hantaran beberapa katil di hospital tersebut yang disumbangkan oleh selebriti terkenal itu.

Menurut pemilik akaun Instagram abu_hudzaifah78, sebanyak 15 katil telah ditempatkan di zon Dekon Hospital Melaka dan digunakan serta merta untuk merawat pesakit Covid-19-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here