Noriba Infaq tawar kemudahan kewangan berlandaskan Islam

0
130
Mohd. Fadzil Hashim

CYBERJAYA – Kumpulan Malakat Eco dengan kerjasama Koperasi Pembangunan Pengguna Islam Malaysia (KoPPIM) akan menjadikan Noriba Infaq sebagai komponen utama perjuangan pembangunan sistem perbankan Islam di negara ini.

Pengasas Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim berkata, misi utama penubuhan dana Noriba adalah untuk membebaskan umat Islam di negara ini daripada cengkaman hutang dan riba yang dimurkai Allah.

Katanya, matlamat utama Noriba adalah untuk menyediakan satu ‘tabung’ bantuan kewangan dan pinjaman tanpa riba kepada umat Islam khususnya untuk tujuan perniagaan.

“Noriba IO Asia Berhad ditubuhkan bukan sebagai sebuah organisasi yang mencari keuntungan dan ia akan memperjuangkan pembangunan Persatuan Noriba di seluruh Asia dan dunia.

“Di Malaysia, KoPPIM adalah koperasi utama yang menjalankan pembangunan pengguna Muslim termasuk penerima Noriba Infaq dan penyedia pinjaman Noriba kepada Ahli KoPPIM,” katanya dalam hantaran di Facebooknya hari ini.

Mohd. Fadzil atau lebih dikenali sebagai Coach Fadzil berkata, melalui Noriba Infaq, pihaknya membuka peluang kepada individu atau pihak korporat untuk menyalurkan sumbangan melalui tabung yang diuruskan secara telus dan profesional.

Katanya, sumbangan yang disalurkan melalui dana itu akan dipecahkan kepada dua iaitu untuk tujuan pinjaman serta bantuan kewangan dan untuk pemerolehan aset secara bebas riba.

Untuk penyediaan pinjaman kepada para usahawan pula katanya, tawaran termasuk Pinjaman Peribadi Maksimum – RM5,000; Pinjaman Pendidikan Maksimum RM50,000; Pinjaman Kereta Maksimum RM50,000 dan Pinjaman Perumahan Maksimum RM500,000.

“Benar hasrat ini sukar namun kita harus berusaha dan memohon bantuan yang Esa supaya membantu usaha kita keluar dari RIBA yang dimurkai Allah,” katanya.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat dan berinfaq kepada dana itu boleh berbuat demikian dengan mengunjungi laman www.noriba.io

Pengunjung yang hadir pada majlis perasmian Noriba Infaq di Malakat Mall, tahun lalu. – FARIDJANUDIN/MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here