Palestin hargai sokongan Malaysia bantu rakyat, negara itu berdepan kezaliman Israel

0
206
Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz (tengah) dan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Nasrudin Hasan menyampaikan sumbangan kepada Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali di sini hari ini.

KUALA LUMPUR – Sokongan berterusan rakyat negara ini terhadap penduduk Palestin terutamanya di Gaza menyentuh perasaan rakyat negara itu yang sangat menghargai sokongan Malaysia ketika mereka sedang menghadapi saat-saat sukar ketika ini.

Menurut Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali, sikap keprihatinan dan solidariti yang ditunjukkan rakyat dan kerajaan Malaysia hanya mampu dibalas dengan ucapan terima kasih.

“Untuk anda datang ketika negara ini dan Palestin berada dalam kesukaran, dari dasar hati kami, saya ucapkan berbanyak terima kasih.

“Apabila saya lihat bendera Palestin di Menara Berkembar Petronas, Tabung Haji, kenderaan dan seluruh negara ini, saya sangat tersentuh, dengan semua yang anda lakukan, tiada siapa boleh pertikai solidariti rakyat Malaysia untuk Palestin,” katanya.

Kemusnahan yang berlaku di Gaza selepas diserang Israel dua minggu lalu

Terdahulu, beliau menerima kunjungan oleh Setiausaha Politik Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz dan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Nasrudin Hasan untuk menyampaikan sumbangan dana daripada agensi-agensi di bawah jabatan tersebut hari ini.

Yang hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Yadim, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Datuk Ajib Ismail sebagai simbolik mewakili agensi agama Islam persekutuan.

Dalam majlis tersebut sumbangan sebanyak RM20,000 disampaikan untuk rakyat Palestin.

Selain itu, turut disampaikan ialah sumbangan untuk 100 keluarga Palestin di negara ini dengan setiap mereka menerima sebanyak RM500.

Sementara itu, Walid berkata sumbangan yang diterima tepat pada masanya, sambil menambah ia boleh dimanfaatkan untuk membantu rakyat Palestin di negara ini.

“Ketika ini ada keluarga dan para pelajar Palestin di negara ini, di Sekitar Kajang dan Cyberjaya umpamanya, kami bantu dengan beri sumbangan bakul makanan,” jelasnya.

Sementara itu , beliau turut meminta agar disebarkan lagi kisah kisah kekejaman Israel pada semua.

“Di saat kita berada di sini, penduduk Gaza umpamanya masih tiada bekalan air, terbaharu saya diberitahu 46 buah sekolah diserang Israel,”jelasnya.

Sementara itu sumbangan juga akan disampaikan kepada rakan rakan badan bukan kerajaan yang mempunyai operasi langsung di negara berkenaan atau yang aktif dalam memperjuangkan isu pembelaan Palestin, esok.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here