Pandangan pemimpin politik jadi agenda utama Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu esok

0
28
Gambar hiasan

CYBERJAYA – Semua pandangan yang telah dikemukakan oleh pemimpin-pemimpin parti politik negara akan menjadi agenda utama dalam Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu yang dijadualkan berlangsung esok petang.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadli Shamsuddin berkata, sejak 9 Jun lalu sehingga hari ini, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah menerima menghadap sebanyak 18 pemimpin parti politik secara bersemuka dan maya di Istana Negara.

Katanya, selain itu, baginda turut berkenan menerima menghadap Pengerusi Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021, Tun Arifin Zakaria sebentar tadi.

“Sesi-sesi menghadap para pemimpin parti politik adalah atas inisiatif serta keprihatinan tinggi baginda dan berkaitan dengan usaha-usaha memerangi penularan jangkitan wabak Covid-19 serta pelaksanaannya semasa tempoh darurat.

“Susulan sesi menghadap ini padangan yang telah dikemukakan oleh para pemimpin parti politik akan diwasilkan di Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu yang akan bermula pada jam 2.30 petang esok,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Fadli berkata, selain itu beberapa pakar daripada agensi kerajaan turut dijadualkan memberi sembah taklimat mengenai hal-hal berkaitan kesihatan, keselamatan, politik dan ekonomi negara dalam perbincangan tersebut.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here