
KEPALA BATAS – Polis telah menyerahkan kertas siasatan kes Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berhubung dakwaan beliau memandu uji kereta di sebuah pusat jualan dan pameran kenderaan di Autocity Juru baru-baru ini kepada Pengarah Pendakwaan negeri (PPN) Pulau Pinang untuk tindakan lanjut.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abd Manan berkat, buat masa ini pihaknya masih menunggu arahan daripada PPN untuk tindakan seterusnya.
“Kertas siasatan itu sebelum ini dihantar ke Bukit Aman dan telah dikembalikan kepada kami untuk diserahkan kepada PPN bagi tindakan selanjutnya. Memang kena hantar ke Bukit Aman terlebih dahulu kerana ia membabitkan penjawat awam (menteri besar).
“Lagipun siasatan ini mengambil sedikit masa kerana ia dijalankan berdasarkan video dan gambar yang tular, jadi polis perlu merekodkan keterangan daripada pelbagai pihak terbabit dan mendapatkan rakaman kamera litar tertutup di kawasan itu,” katanya memetik laporan Berita Harian hari ini.
Dalam kejadian 5 Jun lalu, tular gambar Muhammad Sanusi yang dipercayai memandu uji sebuah pikap jenis Ford Raptor di laman sosial.
Tindakan itu mendapat kecaman warganet yang rata-ratanya marah dan tidak berpuas hati dengan menyifatkan pemimpin berkenaan tidak sensitif serta melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Sehubungan itu, kes itu disiasat menurut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 17(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.