
SURFSIDE – Sebuah pangsapuri 12 tingkat
berhampiran Pantai Miami, Amerika Syarikat runtuh pada awal pagi semalam.
Dalam kejadian itu difahamkan sekurang-kurang seorang mangsa maut manakala nasib 99 penghuni masih belum diketahui.
Pengarah Jabatan Polis Miami-Dade, Freddy Ramirez berkata, pihaknya setakat ini tidak memperoleh sebarang perkembangan makluman mengenai 99 penghuni yang berkemungkinan berada dalam bangunan itu ketika ia runtuh.
“Ia mungkin atas sebab yang berbeza-beza, namun operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan,” katanya memetik laporan media tempatan.
Penolong Ketua Bomba dan Penyelamat Miami-Dade, Ray Jadallah berkata, pihaknya tiba di tempat kejadian kira-kira pukul 1.30 pagi sebelum membantu mengeluarkan 35 orang dari bangunan itu.
Berdasarkan siasatan awal, beliau berkata, kira-kira 55 unit pangsapuri terjejas akibat runtuhan berkenaan.
Sekurang-kurang 18 warga Amerika Latin dilaporkan hilang dalam insiden berkenaan, setakat ini, menurut konsulat negara terbabit.
Mereka meliputi tiga warga Uruguay, Argentina (sembilan) dan Paraguay (enam).
Pangsapuri itu didiami penduduk tetap bersama penyewa serta penghuni bermusim, namun pihak berkuasa belum dapat memastikan jumlah sebenar orang berada dalam bangunan terbabit ketika kejadian.
Datuk Bandar Surfside, Charles Burkett, mengesahkan sekurang-kurang seorang mangsa maut dalam insiden berkenaan.
Komisioner Sally Heyman bagi County Miami-Dade pula memaklumkan, kira-kira 14 individu berjaya diselamatkan daripada timbunan runtuhan itu.