Pemain berdarah kacukan Belgium-Malaysia, Dion Cools sah sertai Harimau Malaya

0
292
Dion Cools

CYBERJAYA – Tanda tanya siapa pemain ke-26 skuad Harimau Malaya akhirnya terlerai selepas Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin mengumumkan penyertaan pemain berdarah campuran Malaysia-Belgium, Dion Cools hari ini.

Hamidin berkata, Cools yang kini beraksi bersama kelab FC Midtylland telah bersama pasukan itu di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), hari ini

Katanya, pengesahan itu dibuat selepas segala proses dokumentasi di peringkat Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) terutamanya berhubung status kelayakannya, pendaftaran dan lain-lain selesai.

“Dengan kehadiran beliau, ia akan dapat memberi nilai tambah serta memperkasakan lagi pasukan Harimau Malaya.

“Harapan saya kepada seluruh rakyat Malaysia terutamanya penyokong setia Harimau Malaya, doakan pasukan kita ini untuk beroleh kejayaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, nama pemain yang lahir di Kuching, Sarawak itu diumumkan menerusi laman web rasmi kelab terbabit dengan menyenaraikan Cools antara dilepaskan untuk beraksi dalam saingan Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 Jun depan.

Menerusi kenyataan rasmi kelab yang beraksi di liga utama Denmark itu menyatakan bahawa Cools antara 16 pemain dipanggil bagi mewakili pasukan negara dalam perlawanan kelayakan ataupun perlawanan persahabatan.

Bagaimanapun nama Cools secara tiba-tiba hilang dalam senarai yang dimuatnaik itu sehingga menimbulkan pertanyaan banyak pihak kesahihan berita berkenaan.

Cools dipanggil kali pertama menyertai skuad kebangsaan sepanjang kariernya dalam bola sepak dan pernah beraksi sebanyak 28 kali untuk skuad belia Belgium.

Berdasarkan rekod, pemain berusia 24 tahun itu pernah beraksi bersama dua kelab di Liga Jupiler PRO iaitu OH Leuven dan Club Brugge selama lima setengah musim sebelum berhijrah ke FC Midtylland.

Pemain yang beraksi di pertahanan kanan bukan sahaja ketika ini beraksi naib juara Liga Denmark namun dia hampir mencatatkan nama sebagai pemain berasal dari Malaysia beraksi di pentas Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim ini.

Namun, skuad kendalian Brian Priske itu gagal melepasi saingan peringkat kumpulan yang turut diisi Liverpool, Ajax Amsterdam dan Atalanta.

Kehadiran Cools dalam skuad kebangsaan akan memberi impak kepada barisan pertahanan terutama di bahagian kanan yang kini diisi oleh Matthew Davies dan Rizal Ghazali.

Namun, Cools juga dikatakan boleh mengisi kekosongan di bahagian pertahanan tengah dan kiri berdasarkan kepada kemampuannya ketika ini.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here