Pemandu mabuk rempuh SJR, hampir langgar 15 petugas barisan hadapan

0
357
Keadaan kereta yang dipandu pemandu mabuk

GEORGETOWN – Seorang pemandu mabuk ditahan polis selepas merempuh sekatan jalan raya (SJR) berhampiran Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu, di sini semalam.

Lelaki yang berusia 57 tahun itu juga hampir melanggar 15 anggota barisan hadapan yang bertugas di SJR berkenaan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, ketika kejadian pada jam 8.30 malam itu, lelaki terbabit dilihat memandu kereta Toyota Vellfire secara berbahaya dari arah Georgetown ke Bayan Lepas.

Katanya, lelaki terbabit kemudian melanggar kon keselamatan pertama dan diseret sehingga ke khemah yang menempatkan petugas keselamatan.

“Seramai 15 anggota keselamatan yang terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) bertugas di situ tidak cedera.

“Lelaki yang tinggal di Jalan Pantai Jerjak, Sungai Nibong itu ditahan sejurus kenderaannya berhenti,” katanya memetik laporan Berita Harian hari ini.

Terdahulu tular beberapa keping gambar sebuah kenderaan merempuh SJR di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu.

Soffian berkata, ujian pernafasan mendapati lelaki itu berada bawah pengaruh alkohol dengan kandungan bahan berkenaan melepasi had dibenarkan.

Katanya, tindakan suspek juga turut merosakkan beberapa peralatan termasuk dua papan tanda sekatan jalan raya, lampu beacon dan kon keselamatan.

Terdapat beberapa saksi melihat kejadian itu namun didapati tiada kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi berkenaan.

“Lelaki terbabit tidak mempunyai rekod jenayah lampau tetapi memiliki 38 saman atas kesalahan memandu laju dan kesemuanya sudah dijelaskan.

“Lelaki itu direman dua hari sehingga esok bagi tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 45(A) (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Suspek juga akan disiasat mengikut Seksyen 279 Kanun Keseksaan, Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Seksyen 26 (2) Akta Polis,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here