Pemberian vaksin yang perlahan timbulkan ketakutan, kekecewaan dan keresahan – Hishammuddin

0
174
Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein

CYBERJAYA – Kadar pemberian vaksin yang terlalu perlahan ketika negara sedang berhadapan dengan penularan secara pantas wabak Covid-19 telah menimbulkan ketakutan, kekecewaan dan keresahan majoriti rakyat negara ini.

Tanpa berselindung, Meneri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pada awalnya rakyat yakin dengan pendekatan positif kerajaan dalam menetapkan pemberian vaksin secara berfasa serta keberhasilan awal mendapatkan berkalan vaksin namun ia berubah selepas kes baharu Covid-19 meningkat secara mendadak.

“Sesetengah negara, kita telah lihat ketakutan ini semakin pudar setelah pemberian vaksin dipercepatkan. Di United Kingdom dan Amerika Syarikat misalnya, Covid-19 tidak lagi menimbulkan ketakutan yang sama seperti beberapa bulan yang lalu. Mereka kini telah melangkah ke hadapan dengan yakin dan positif.

“Sebab itu, kita juga perlu mempertimbangkan secara serius untuk mempelbagaikan penggunaan jenis vaksin bagi meredakan kebimbangan rakyat.

“Setakat ini, Malaysia hanya meluluskan penggunaan Pfizer, Sinovac dan AstraZeneca. Sedangkan, banyak negara telah meluluskan vaksin lain dalam program vaksinasi mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Malah, katanya, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menyenaraikan Johnson & Johnson, Moderna dan Sinopharm untuk kegunaan kecemasan di seluruh dunia bagaimanapun berbeza di Malaysia yang masih belum meluluskan penggunaam vaksin berkenaan.

Beliau berkata, dalam keadaan negara berhadapan dengan situasi tidak normal seperti hari ini, Malaysia tidak boleh gunakan prosedur biasa.

Katanya, setiap agensi kerajaan mesti bergerak seiring dengan badan antarabangsa dan pantas dalam menetapkan kelulusan kecemasan.

Dalam pada itu, katanya, lebih mengecewakan apabila banyak rakan Malaysia di seluruh dunia turut menawarkan bantuan tetapi tidak diterima.

“Di sinilah birokrasi menjadi penghalang utama. Tawaran bantuan ini seharusnya diterima dengan kesungguhan dan bukannya keengganan.

“Ini pertimbangan antara melakukan perkara secara betul atau melaksanakan perkara yang betul. Menolak atau menerima tawaran ini turut akan beri kesan kepada kami di Kementerian Luar.

“Sekiranya tawaran ini tidak diterima dengan bersungguh-sungguh, ia berisiko menggugat hubungan diplomatik atau lebih teruk lagi menjejaskan integriti negara kita di pentas antarabangsa. Saya rasa ini bukan risiko yang wajar kita ambil,” ujarnya.

Sementara itu, Hishammuddim turut menggesa supaya kerajaan melaksanakan ujian saringan Covid-19 secara besar-besaran.

Katanya, ujian saringan secara besar-besaran akan membolehkan pihak berkuasa menguji, mengenalpasti dan mengasingkan mereka yang positif dengan lebih cepat sekaligus mengupayakan kita mengurus wabak ini dengan lebih baik.

Namun katanya, untuk melaksanakannya, kita perlukan perancangan sama ada untuk meningkatkan kapasiti makmal, menambah kit ujian Covid-19 atau memberi subsidi kos untuk melakukan ujian saringan.

“Tragedi terbesar bagi Malaysia ialah jika kita tidak muhasabah kesilapan dan kelemahan. Kita mesti berusaha untuk tidak mengulanginya.

“Sekiranya kita tidak berubah menjadi lebih baik, bagaimana kita akan berupaya menangani lebih banyak cabaran di era pasca pandemik ini? – varian dan mutasi baru, masa depan pendidikan anak-anak kita, kesihatan mental dan nasib ekonomi kita.

“Kita mungkin belum melihat situasi terburuk, tetapi kita tetap perlu berwaspada. Kita mesti bertekad untuk melakukan segala yang termampu dengan bekerjasama antara satu sama lain demi memerangi wabak ini,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here