
CYBERJAYA – Pembetulan dokumen pengenalan diri dan kelahiran boleh dilakukan apabila wujud maklumat yang tidak tepat atau meragukan.
Bagaimanapun tindakan itu mempunyai implikasi terhadap urusan pengesahan identiti seperti perbankan, pendidikan dan kesihatan.
Jabatan Penerangan Negara (JPN) dalam satu kenyataan berkata, pemohon yang mahu membuat pembetulan maklumat perlu mengemukakan bukti-bukti yang sah tentang kesilapan fakta dalam rekod pendaftaran.
“JPN hanya mengendalikan isu yang berada di bawah bidang kuasa JPN sahaja seperti sijil lahir dan kad pengenalan.
“Namun, sekiranya pihak berkaitan memerlukan pengesahan berkenaan maklumat dokumen pengenalan diri subjek (pemohon), JPN sedia memberikan kerjasama,” menurut JPN.
Kenyataan itu dikeluarkan bagi menjelaskan beberapa kes pertukaran bayi termasuk pasangan kembar berusia 20 tahun lalu akibat kecuaian kakitangan sebuah hospital di Kota Bharu, Kelantan yang didedahkan media beberapa hari lalu.

Menurut JPN, pihaknya sebelum ini menerima banyak permohonan untuk pembetulan pelbagai maklumat pada dokumen pengenalan diri termasuk penukaran nasab (bin atau binti).
Sementara itu, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad dipetik berkata, menurut hukum Islam, seseorang yang menggunakan nasab bukan bapa sebenar wajib menukar semula kepada nama bapa kandung.
Perkara itu penting, termasuk mengelakkan pertelingkahan akibat pembahagian harta pusaka.