
CYBERJAYA – Bagi meringankan beban perbelanjaan bulanan rakyat, kerajaan akan memberikan diskaun bil elektrik antara lima hingga 40 peratus mengikut penggunaan kadar elektrik dengan had maksimum 900 kilowatt jam sebulan.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, diskaun sebanyak 40 peratus akan diberikan kepada penggunaan elektrik bawah 200 kilowatt jam sebulan dan 15 peratus bagi penggunaan antara 201 hingga 300 kilowatt jam sebulan.
“Secara keseluruhan, rakyat akan mendapat diskaun berjumlah RM346 juta dan diskaun ini akan berkuat kuasa bagi tempoh tiga bulan mulai bil bulan Julai ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Pengumuman Khas Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), hari ini.
Dalam pada itu, katanya, turut diberikan diskaun berkenaan ialah sektor-sektor ekonomi yang terjejas khususnya pengendali hotel, taman tema, pusat konvensyen, pusat beli-belah, pejabat syarikat pelancongan tempatan serta agensi pengembaraan dan pelancongan.
Katanya, diskaun bil elektrik bagi sektor ekonomi itu akan dilanjutkan sebanyak 10 peratus bagi bil bulan Oktober hingga Disember ini.
Katanya, dengan pemberian diskaun elektrik kepada pengguna domestik dan bukan domestik ini, kerajaan akan menanggung kos tambahan sebanyak RM1 bilion.-MT