
CYBERJAYA – Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan akan memberikan moratorium selama enam bulan kepada semua peminjam individu, sama ada dari golongan B40, M40 atau T20, dan usahawan mikro.
Perdana Menteri berkata, bagi memudahkan semua pihak, tiada lagi syarat seperti pengurangan pendapatan, semakan hilang pekerjaan dan dokumentasi yang perlu dikemukakan untuk permohonan berkenaan.
“Anda cuma perlu memohon dan kelulusan akan diberikan secara automatik.
“Kemudahan ini juga ditawarkan kepada pengusaha Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang terjejas tertakluk kepada semakan dan kelulusan pihak bank,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Pengumuman Khas Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), hari ini.
Mengulas lanjut, katanya, permohonan itu akan dibuka pada 7 Julai ini.
Katanya, peminjam hanya perlu memohon dan menandatangani perjanjian pindaan syarat-syarat pinjaman yang berkaitan.
“Saya berharap inisiatif moratorium ini dapat sedikit sebanyak membantu peminjam individu dan PKS dalam menguruskan aliran tunai mereka semasa tempoh yang mencabar ini.
“Walau bagaimanapun, saya juga ingin berpesan gunalah tawaran ini dengan sebaiknya dan jika tidak mendesak, janganlah membuat tambahan komitmen kewangan lain,” ujarnya.-MT