
CYBERJAYA – Raudhah College yang dimiliki oleh Kumpulan Malakat Eco akan menerapkan sistem pendidikan hibrid (HE) iaitu gabungan pembelajaran secara dalam talian, bersemuka dan latihan industri sebagai model pendidikan masa depan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syaraff Al Sadat berkata, dalam memperkasakan kaedah pembelajaran itu, pihaknya akan memberi tumpuan kepada 70 peratus pembelajaran secara online manakala selebihnya di dalam bilik kuliah.
Beliau berkata, penekanan kepada pembelajaran secara digital bukan sahaja dibuat untuk menepati kesesuaian pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemic Covid-19 tetapi dilihat memberi banyak kelebihan.
“Di Raudhah College kami menawarkan model pendidikan hibrid iaitu 70 peratus pembelajaran secara online, 30 peratus dalam bilik kuliah di samping penekanan yang kuat kepada latihan industri.
“Menariknya, institusi pendidikan yang merupakan sebahagian daripada komponen penting ekosistem ini (Malakat Eco) disokong oleh rakan-rakan industri yang berkaitan dengan bidang pendidikan ditawarkan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi Live Facebook Setia Haruman Sdn Bhd bertajuk ‘Pendidikan Hibrid di Cyberjaya’ malam tadi.

Syaraff berkata, sejak bermula penularan Covid-19, keberkesanan sistem pendidikan hibrid dilihat menjadi booster (pemacu) dalam sistem pendidikan negara khususnya dalam penggunaan Internet.
“Saya melihat situasi ini (pendidikan online) sebagai salah satu daripada hikmah penularan Covid-19, yang telah ‘memaksa’ kita mengadaptasi teknologi Internet dalam pendidikan ke tahap yang sepatutnya kita sudah lama capai,” katanya.
Justeru katanya, dunia kini tidak boleh meninggalkan kaedah pembelajaran secara online kerana keberkesanannya yang sudah terbukti.
“Ia jelas melalui penerimaan platform itu oleh universiti-universiti utama di dunia ketika ini walaupun di negara ini masih ada pihak yang keberatan untuk menerimanya,” katanya.
Bahkan melalui pendidikan hibrid juga Syaraff mengandaikan, kerajaan mampu menjimatkan kos pendidikan negara sehingga 90 peratus.
“Ia membuka terlalu banyak peluang, manfaat dan penjimatan. Misalnya kerajaan mungkin dapat mengurangkan bajet pendidikan negara daripada RM60 bilion kepada hanya RM6 bilion setahun melalui pendidikan secara online,” katanya.
Bagi memanfaatkan kelebihan itu katanya, Raudhah College menawarkan peluang pendidikan berkualiti pada harga berpatutan kepada pelajar lepasan SPM.
Mengulas lebih lanjut, kekuatan kolej yang ditubuhkan sejak 15 tahun lalu itu katanya terletak pada rakan-rakan industri yang dimiliki sendiri oleh Kumpulan Malakat Eco seperti tadika Brainy Bunch, restoran Bunch-Oh, Casa de Madani, Malakat AutoCity, Burger Boy, DIY Malaya dan banyak lagi.
Pada masa kini katanya, bidang pengajian utama yang ditawarkan oleh Raudhah College yang terletak di Central Business District (CBD) Perdana 3 itu adalah Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Keusahawan Islam dan Kulinari Halal.
“Bagi bidang-bidang ini kita mempunyai 103 cawangan tadika Brainy Bunch di seluruh negara, outlet perniagaan dan restoran di Malakat Mall yang menawarkan latihan industri.
“Bahkan kami juga sudah bersedia dalam beberapa bidang latihan kemahiran lain termasuk automotif, pembangunan perisian komputer dan refleksologi,” katanya.



Menjawab soalan moderator, Syahril Omar, mengenai syarat untuk kemasukan ke kolej itu, Syaraff berkata, Raudhah College tidak meletakkan keutamaan kepada kriteria pendidikan semata-mata sebaliknya memberi pertimbangan kepada pelajar yang mempunyai minat dalam kemahiran tertentu.
“Kami tidak meletakkan keputusan peperiksaan sebagai penanda aras tetapi melihat kepada tanggungjawab untuk menyediakan pendidikan kepada semua.
“Raudhah College juga merupakan salah sebuah institusi pengajian tinggi yang mendapat pengiktirafan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA),” katanya.
Maklumat lanjut mengenai Raudhah College boleh diperolehi dengan menghubungi Akma (013-9756511), Alia (019-7106511), Ruzman (012-7674482).