
BARCELONA – Pengasas perisian antivirus komputer terkenal, John McAfee ditemukan maut dalam penjara di Sepanyol setelah permohonan ekstradisi Amerika Syarikat (AS) ke atasnya diluluskan oleh Mahkamah Tinggi Sepanyol.
Kata The Guardian, McAfee dipercayai maut akibat membunuh diri.
Jabatan Keadilan Catalan dalam satu kenyataan berkata, McAfee ditemukan tidak sedarkan diri dalam sel penjaranya di Pusat Penjara Brians 2 di sini, dan cubaan untuk menyelamatkan dia tidak berjaya.
“Buat masa ini, kami sedang menyiasat punca kematian McAfee.
“(Namun) Segala bukti yang ada menunjukkan bahawa dia membunuh diri,” kata jabatan itu dalam satu kenyataan.
McAfee, 75, berdepan pertuduhan jenayah berkaitan percukaian di AS, yang jika disabitkan kesalahan, boleh dipenjarakan selama 30 tahun.
Pihak berkuasa Sepanyol memberkas McAfee Oktober lepas di Lapangan Terbang Barcelona.