Penghantar makanan disyaki pukul lelaki persenda nama Allah direman 2 hari

0
894

Seorang lelaki yang mempersendakan nama Allah ketika memesan makanan dibawa orang ramai ke balai polis

CYBERJAYA – Lima orang penghantar makanan yang ditahan polis semalam bagi membantu siasatan kerana disyaki memukul seorang lelaki yang mempersenda nama Allah ketika memesan makanan direman selama dua hari.

Menurut peguam Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, terdahulu pihak polis memohon tempoh reman selama empat hari namun mahkamah hanya membenarkan tempoh reman selama dua hari.

“Selesai isu reman Foodpanda Rider, reman kena dua hari sahaja walaupun polis minta empat hari. Ramai yang bertanya tentang kes ini tapi saya tak dapat ceritakan fakta kes kerana masih belum bicara.

“Yang jelas pada pandangan saya mereka perlukan pembelaan,” katanya dalam satu hantaran dalam laman Facebook miliknya hari ini.

Datuk Zainul Rijal Abu Bakar

Semalam tular beberapa video dan gambar sekumpulan penghantar makanan mengejar seorang lelaki yang mempersendakan nama Allah sebagai nama samarannya ketika memesan makanan.

Berang dengan tindakan individu yang mempersenda nama Allah itu, seorang pengadu telah membuat laporan polis untuk tindakan lanjut dan membawa lelaki berusia 29 itu yang juga rakyat tempatan ke Balai Polis Sungai Way.

Dalam pada itu, menurut Pengerusi Pertubuhan Pembela-pembela Islam (Pembela), Aminuddin Yahaya, prihatin dengan situasi yang dihadapi oleh penghantar makanan tersebut yang bertindak mempertahankan kalimah Allah daripada dipersenda, pihaknya telah melancarkan tabung bantuan untuk orang ramai menyumbangkan dana untuk membayar ikat jamin mereka.

“Sepatutnya mereka direman empat hari, tetapi atas desakan peguam, alhamdulillah dikurangkan dua hari. Mereka ini dijangka diikat jamin dengan kos antara RM3,000 hingga RM4,000 seorang. Namun, mereka tidak ada wang sebanyak itu lebih-lebih lagi mereka hilang pendapatan kerana direman ini.

“Oleh itu, kami dalam Sekretariat Pembela telah bersetuju untuk membantu mereka menggerakkan tabung kilat online untuk mengumpul wang sumbangan, memandangkan sejak semalam ramai yang menghubungi saya mengatakan mereka mahu menyumbang,” katanya.

Pengerusi Pertubuhan Pembela-pembela Islam (Pembela), Aminuddin Yahaya

Aminuddin berkata, orang ramai boleh menyumbang melalui online bit.ly/BelaRiderKalimahAllah atau bank-in terus ke akaun CIMB PEMBELA 8604296996 dan seterusnya memaklumkan ke emel [email protected]

“InsyaAllah, andai kata kutipan kurang dari sasaran, kita akan cuba tambah manakala jika kutipan melebihi kos sepatutnya, kami akan serahkan wang tersebut sebagai wang belanja sara hidup kepada rider-rider yang hilang pendapatan itu.

“Semoga semua usaha kecil kami ini membuahkan hasil dan diredhai Allah,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here