Penjaja kecil dibenarkan berniaga tanpa perlu kelulusan CIMS 3.0

0
278
Peniaga Nasi Lemak Strawbery, Syazwani Adnan menyediakan nasi lemak strawberi untuk pelanggan. Gambar / FARID JANUDIN

CYBERJAYA – Kerajaan membenarkan penjaja kecil yang berniaga di bawah kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya tidak perlu untuk mendapatkan kelulusan melalui sistem pengoperasian Covid-19 Intelligent Management System (CIMS 3.0).

Menurut Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dalam satu kenyataan,
mana-mana penjaja yang mempunyai permit kekal atau sementara hanya perlu menunjukkan permit penjaja yang dikeluarkan oleh PBT.

“Sekiranya lokasi perniagaan mereka melibatkan pergerakan merentas daerah, mereka perlu mendapatkan kebenaran Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan mengemukakan bukti permit penjaja oleh PBT berkenaan.

“Kebenaran untuk berniaga ini hanya terpakai untuk penjaja kecil sahaja dan bukan untuk operasi pasar tani, pasar minggu, pasar malam dan pasar tamu,” katanya hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, keputusan itu adalah berkuatkuasa serta merta dan terpakai sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Katanya, semua penjaja kecil yang telah diberi kebenaran beroperasi dan melakukan pergerakan rentas daerah mestilah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here