[VIDEO]Penjaja Kuala Lumpur sambut baik lanjutan lesen, suntikan vaksin

0
32
Penjaja buah-buahan beroperasi dengan pematuhan SOP di Jalan Rejang 1, Sri Rampai, Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR – Pengumuman lanjutan tempoh sah lesen berniaga secara percuma sehingga hujung tahun ini memberi manfaat kepada lebih 4,500 penjaja di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Inisiatif yang diumumkan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa melalui Program Wilayah Bebas Berniaga itu disambut baik oleh golongan penjaja yang menyifatkan inisiatif itu sebagai satu rahmat dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh ini.

Tinjauan Malakat Tribune di tapak penjaja Sri Rampai pagi ini mendapati golongan penjaja menyambut baik pengumuman pihak berkuasa mengenai perkara itu.

Peniaga nasi beriyani, Jeenath Begam Abd Rahman berkata, dia bersyukur dan berterima kasih kepada menteri Wilayah persekutuan yang begitu prihatin terhadap nasih golongan penjaja.

Katanya, pengumuman lanjutan tempoh sah lesen yang sepatutnya tamat pada Julai ini kepada 31 Disember itu membantu penjaja sepertinya terus berniaga untuk menampung perbelanjaan keluarga.

“Memang sangat gembira bila lanjutan ini diumumkan semalam oleh Tan Sri Annuar Musa. Tak perlu kami membuat permohonan untuk sambung lesen.

“Terima kasih juga kepada kerajaan yang membenarkan kami golongan penjaja beroperasi walaupun dalam tempoh PKP yang ketat sekarang,” katanya yang berniaga tanpa lesen sejak tiga tahun lalu.

Penjaja Kuala Lumpur sambut baik lanjutan lesen, suntikan vaksin
Jeenath Begam Abd Rahman

Semalam, Annuar Musa dalam kunjungannya ke tapak penjaja di kawasan yang sama mengumumkan lanjutan tempoh sah lesen penjaja dan usaha mempercepatkan suntikan vaksin kepada golongan itu di seluruh Kuala Lumpur.

Jeenath berkata, program Penjaja Prihatin yang diperkenalkan sejak PKP yang pertama juga memberi peluang kepadanya berniaga secara sah.

“Dulu saya berniaga di bawah flat sahaja, sekarang bila sudah ada lesen saya berpindah ke jalan besar di tepi tasik Sri Rampai.

“Alhamdulillah ada lebih sedikit rezeki untuk tampung kehidupan keluarga,” katanya.

Nik Zaki Amani NIk Ibrahim

Peniaga taufufa, Nik Zaki Amani NIk Ibrahim, 40, berkata, selain lanjutan tempoh sah lesen, satu lagi berita gembira yang diumumkan menteri semalam adalah usaha mempercepatkan suntikan vaksin untuk penjaja.

Katanya, inisiatif itu bertepatan dengan keperluan imunisasi golongan penjaja yang berurusan dengan orang ramai.

“Saya sudah daftar di MySejahtera tapi kalau dapat dipercepatkan itu lagi baik sebab untuk elak risiko jangkitan,” katanya.

Fazlan Amir Syah

Sementara itu, penjaja buah-buahan, Fazlan Amir Syah, 31, berkata, pemberian suntikan vaksin kepada peniaga bukan sahaja sebagai perlindungan tetapi dapat memberi keyakinan kepada orang ramai untuk berurusan dengan penjaja.

“Setiap hari kami penjaja berurusan dengan orang ramai. Jadi selain pematuhan pada Prosedur Operasi Standard (SOP), suntikan vaksin pasti dapat kurangkan ketakutan orang ramai untuk berbelanja,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here