
CYBERJAYA – Penularan Covid-19 di sektor perkilangan dan pembuatan hanya melibatkan lima hingga 10 peratus daripada keseluruhan kes wabak itu di negara ini.
Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, berdasarkan statistik daripada Kementerian Kesihatan (KKM), sebanyak 75 peratus kes yang berlaku berpunca daripada kes sporadik manakala 25 peratus lagi berlaku dalam pelbagai kluster.
Sehubungan itu katanya, tidak adil untuk orang ramai menyalahkan sektor perkilangan dan pembuatan sebagai punca kes Covid-19 masih mencatatkan angka yang tinggi sehingga hari ini.
“Data yang disahkan oleh KKM menunjukkan bahawa 75 peratus kes adalah daripada kes sporadik yang bermakna virus itu sudah berada dalam komuniti.
“jadi tidak benar untuk meletakkan kesalahan pada sektor ekonomi khususnya perkilangan semata-mata,” katanya selepas melawat pusat pemberian vaksin (PPV) di Pusat Konvensyen Setia City di Shah Alam, hari ini.
Baru-baru kelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang dilaksanakan kerajaan mendapat kritikan daripada banyak pihak selepas dianggap gagal menurunkan jumlah kes baharu.
Mohamed Azmin berkata, keputusan kerajaan membenarkan sektor perkilangan beroperasi telah mengambil kira risiko penularan tetapi dibuat untuk kepentingan ekonomi.
“Apabila ada aktiviti ini (ekonomi) kebarangkalian (jangkitan Covid-19) pastinya wujud, tetapi jumlahnya tidaklah besar seperti yang telah diumumkan (daripada keseluruhan kes) kerana virus ini sudah sporadik, berada dalam masyarakat.
“Sebab itu kita mengajak untuk sama-sama tangani masalah pandemik ini dengan mematuhi kepada prosedur operasi standard yang ketat,” katanya.
Mohamed Azmin berkata, Malaysia adalah sebuah negara yang terlibat sebagai rantaian bekalan global dan kerajaan tidak mahu ada gangguan terhadap bekalan makanan, keperluan asas serta barangan kesihatan awam seperti sanitizer dan produk farmaseutikal yang lain.