Peratusan vaksinasi kita mendahului negara jiran

0
66

GEORGE TOWN – Peratusan rakyat negara ini yang telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin melepasi negara jiran seperti Indonesia, Thailand, Filipina dan Vietnam

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, kenyataan ini bukanlah sesuatu yang mahu dibanggakan atau sebagai perlumbaan, ia perkembangan yang baik sebagai satu tanda aras.

“Semalam (Rabu), kita telah merekodkan 105,655 suntikan dengan kebanyakannya merupakan suntikan dos pertama

“Manakala dari segi kadar suntikan harian, saya telah minta supaya ia sentiasa ditingkatkan dari hari ke hari,” katanya dalam sidang akhbar bersama Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) SPICE, The SPICE Arena di sini hari ini.

Memetik laporan Sinar Harian, Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, pihaknya menyasarkan untuk memberikan 150,000 dos suntikan setiap hari bulan ini dan ditingkatkan kepada 200,000 suntikan menjelang bulan depan.

Beliau berkata, usaha itu akan dibantu dengan penubuhan lebih banyak PPV termasuk 1,000 klinik swasta di seluruh negara dan melalui sistem pandu lalu.

Mengulas mengenai lawatan beliau, Khairy berkata, PPV SPICE akan beroperasi sebagai PPV AstraZeneca bermula 7 Jun dengan sebanyak 133,000 dos telah disediakan untuk pusingan pertama di negeri itu.

“Kita akan mula dengan kapasiti 1,000 suntikan sehari dan akan ditingkatkan kepada 3,000 sehari pada hari bekerja dan 2,000 pada hujung minggu.

“Kerajaan juga sedang meneliti cadangan untuk membina PPV di kawasan industri Bayan Lepas dan Batu Kawan supaya pekerja yang terpaksa bekerja sewaktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dapat diberikan suntikan vaksin,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here