Perjalanan rentas negeri dibenarkan selewatnya pada hujung tahun ini – Muhyiddin

0
304
Anggota Polis memeriksa dokumen kebenaran merentas daerah atau negeri pemandu kenderaan pada Sekatan Jalan Raya (SJR) di Lebuhraya Persekutuan menghala ke Pusat Bandar berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 1 Jun 2021 hingga 14 Jun 2021.

CYBERJAYA – Perjalanan rentas negeri hanya dijangka dibenarkan apabila negara memasuki fasa keempat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 atau selewat-lewatnya pada hujung tahun ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassib berkata, fasa itu hanya dapat dilaksanakan apabila bilangan kes Covid-19 adalah rendah, sistem kesihatan awam di tahap selamat dan program vaksinasi telah mencapai tahap imuniti berkelompok.

“Saya sering menerima permintaan supaya acara-acara sukan seperti perlawanan bola sepak dengan kehadiran penonton di stadium dibenarkan, majlis-majlis sosial diadakan dan yang paling banyak saya terima ialah rayuan untuk balik ke kampung untuk menziarahi ibu bapa, sanak saudara dan ahli keluarga tersayang. Sabar dulu. Pada masa ini perkara-perkara ini masih tak dapat kita lakukan. Kita mesti utamakan usaha untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 dahulu.

“Insya-Allah, apabila kita telah mencapai imuniti kelompok pada fasa keempat, perkara-perkara ini dapat kita lakukan secara berperingkat dengan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

“Kejayaan kita mencapai imuniti kelompok pula bergantung kepada berapa ramai rakyat negara ini dapat menerima suntikan vaksin,” katanya dalam Perutusan Khas Pelan Pemulihan Negara yang disiarkan secara langsung sebentar tadi.

Mengulas lanjut, katanya, fasa keempat adalah fasa terakhir Pelan Pemulihan Negara di mana negara dapat kembali semula kepada norma kehidupan seharian.

Pada masa sama, katanya, hampir semua sektor ekonomi juga akan dibuka, lebih banyak aktiviti sosial akan dibenarkan dan pelancongan domestik juga akan dibuka tertakluk kepada SOP yang ketat.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here