Pesakit Covid-19 di Selangor akan dibekalkan kit penilaian di rumah

0
99
Amirudin Shari

CYBERJAYA – Kerajaan Selangor melalui salah satu daripada 25 inisiatif Pakej Kita Selangor 2.0 akan menyediakan kit penilaian di rumah (Home Assessment Tool) kepada individu yang dikesan positif Covid-19.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, bantuan melalui peruntukan berjumlah RM1.2 juta itu bertujuan mengurangkan kes kematian luar hospital atau Brought In Death (BID).

Katanya, setiap kit tersebut mengandungi pelitup muka KN95; termometer, pulse oximeter, ubat-ubatan dan kit ujian air liur.

‘Alat ini akan membantu para pesakit yang sedang kuarantin untuk menilai keadaan kesihatan mereka dengan bantuan petugas kesihatan dari Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) melalui aplikasi SELangkah,” katanya pada pembentangan Pakej Kita Selangor 2.0 yang disiarkan secara maya petang ini.

Amirudin berkata, berdasarkan kajian, beberapa faktor utama kejadian BID berpunca daripada keadaan kediaman yang tidak sesuai untuk kuarantin, pesakit yang mempunyai penyakit berisiko tinggi dan varian Covid-19 yang berbahaya.

“Selain itu, jumlah kes yang tinggi juga menyebabkan petugas kesihatan mengalami kesukaran menilai keadaan dan tahap kesihatan pesakit.

Amirudin berkata, usaha itu diharap dapat mengurangkan kes BID yang menjadikan Selangor negeri kedua tertinggi kes selepas Sabah.

Kerajaan Selangor hari ini mengumumkan peruntukan berjumlah RM551.56 juta untuk pelaksanaan Pakej Kita Selangor 2.0 yang bakal memberi manfaat kepada 1.6 juta rakyat negeri itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here