PKP 3.0: Negara rugi RM1 bilion setiap hari

0
37

Tan Sri Muhyiddin Yassin

CYBERJAYA – Negara terpaksa menanggung kehilangan yang besar ke atas ekonomi negara iaitu kira-kira RM1 bilion setiap hari sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di seluruh negara.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan untuk melaksanakan PKP itu bukan mudah dan memerlukan kerajaan mengumumkan pakej rangsangan ekonomi serta bantuan kewangan PEMERKASA Plus bagi menangani impak terhadap semua pihak.

“Saya telah umumkan pakej rangsangan ekonomi dan bantuan kewangan PEMERKASA Plus bernilai RM40 bilion dengan suntikan fiskal sebanyak RM5 bilion ringgit. Saya berharap bantuan daripada kerajaan ini dapat meringankan beban yang ditanggung oleh individu dan perniagaan yang terkesan.

“Namun, kita tidak boleh berterusan begini. Demi kesihatan dan kelangsungan hidup kita semua, kita perlu segera keluar daripada krisis ini,” katanya dalam Perutusan Khas Pelan Pemulihan Negara yang disiarkan secara langsung sebentar tadi.

Sehubungan itu, beliau berkata, satu pelan pemulihan perlu dilakukan sebagai satu strategi peralihan keluar secara berfasa dari kemelut pandemik Covid-19.

Katanya, pelan tersebut telah dirangka dengan membuat pertimbangan sebaik mungkin bagi memastikan setiap keputusan yang diambil adalah untuk melindungi nyawa dan memastikan kelangsungan hidup seluruh rakyat.

Pada masa sama, katanya, pelan tersebut juga mengambil kira ancaman Covid-19 yang masih menular dalam komuniti dan bilangan kes aktif yang tinggi di hospital.

“Pelan ini merupakan satu panduan yang dirangka secara berhati-hati berdasarkan data dan sains untuk membolehkan kita semua kembali kepada kehidupan harian biasa.

“Di samping itu, peningkatan bekalan vaksin sebanyak 16 juta dos pada hujung bulan Julai ini serta peningkatan kadar pemberian vaksin harian membuatkan kita lebih yakin untuk menjayakan Pelan Pemulihan Negara.

“Keadaan ini amat berbeza sekali dengan situasi lebih setahun yang lalu apabila kita melaksanakan PKP buat kali pertama di mana kita masih belum mempunyai vaksin. Satu-satunya jalan keluar pada masa itu ialah lockdown dan tindakan kesihatan awam untuk memutuskan rantaian jangkitan,” ujarnya-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here