Polis akan panggil perakam video dakwa kilang arak beroperasi waktu lockdown

0
1082
Tangkap layar daripada sebuah video yang tular mendakwa terdapat kilang arak beroperasi sewaktu lockdwon penuh walaupun diarahkan tutup

SHAH ALAM – Polis mengesahkan sebuah kilang arak di Seksyen 15, di sini, tidak beroperasi seperti yang ditularkan dalam sebuah video sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, susulan itu, pihaknya segera menggerakkan pasukan Task Force Pematuhan Covid-19 ke kilang terbabit, pada jam 7.40 malam.

Katanya, hasil pemantauan mendapati, memang tiada sebarang operasi pengilangan arak yang dijalankan dan asap yang dikeluarkan daripada satu cerobong kilang di situ adalah wap daripada proses memanaskan sejenis bahan mentah seakan gandum atau ragi.

“Pasukan kami juga bertemu dengan pengurus kilang terbabit dan dimaklumkan bahawa asap itu adalah wap yang keluar hasil daripada proses pemanasan sejenis bahan mentah.

“Bahan ini perlu dipanaskan bagi memastikan ia tidak rosak sepanjang penutupan operasi kilang. Ia (wap) perlu dikeluarkan bagi mengelakkan berlaku letupan,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Menerusi satu video berdurasi 40 saat itu, individu yang merakam video memaklumkan kilang berkenaan beroperasi berdasarkan asap yang keluar daripada corong asap kilang terbabit.

Selain itu, perakam video tersebut yang tinggal berhampiran kilang itu turut merakamkan pergerakan keluar masuk pekerja di dalam kilang arak terkenal itu.

Baharudin berkata, proses itu sebagai meletakkan peralatan pengilangan dalam keadaan siap siaga dan ia mendapat kebenaran daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Katanya, susulan insiden tular itu juga pihaknya akan memanggil pemilik akaun Facebook terbabit bagi membantu siasatan.

Dalam pada itu, berdasarkan surat kebenaran MITI ke atas kilang berkenaan, hanya 10 peratus pekerja dibenarkan bergerak dari kediaman ke kilang atau premis masing-masing.

Kelulusan itu boleh dibatalkan dan ditarik balik, sekiranya syarat ditetapkan gagal dipatuhi oleh syarikat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here