Polis Selangor akan gempur kawasan kilang

0
347
Datuk Arjunaidi Mohamed

SHAH ALAM – Polis Selangor akan memperhebatkan pemeriksaan di kawasan kilang-kilang bagi memastikan tiada kilang yang tidak sepatutnya beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, pemeriksaan itu juga bagi memastikan surat kebenaran dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) tidak disalahguna oleh pihak yang tidak bertangungjawab.

“Kita telah mula pergi ke kilang-kilang untuk pemeriksaan. Sekiranya didapati terdapat pelanggaran, kita ambil tindakan undang-undang.

“Selain itu, saya telah mengarahkan kesemua Ketua Polis Daerah meningkatkan sekatan jalan raya dan tindakan daripada pasukan pemantau agar SOP dipatuhi,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Menurut Arjunaidi, sehingga semalam, sebanyak 487 kompaun telah dikeluarkan dengan kesalahan paling banyak dilakukan melibatkan pelitup muka dan tiada penjarakan fizikal.

“Pergerakan trafik di seluruh Selangor setakat ini menunjukkan penurunan antara 70 hingga 80 peratus dan hasil pemeriksaan mendapati hanya mereka mempunyai surat kebenaran sahaja berada di jalan raya,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here