Polis Zionis pukul peserta acara larian, lebih 23 orang cedera

0
394
Polis Israel menyerang peserta acara larian yang menunjukkan solidariti terhadap penduduk Palestin yang diusir di tanah air mereka sendiri

BAITULMAQDIS – Sekurang-kurangnya 23 rakyat Palestin yang menyertai acara larian sebagai tanda solidariti terhadap penduduk Palestin yang diusir keluar dari timur Baitulmaqdis cedera ditembak dengan gas pemedih mata dan bom tangan pegun oleh polis rejim Zionis semalam.

Menurut Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin, dalam acara itu ratusan peserta menyertai acara larian sejauh 3.5 kilometer yang bermula di Sheikh Jarrah dan berakhir di Silwan.

Puluhan warga Palestin yang menetap di kedua-dua kawasan berkenaan berdepan ancaman kehilangan tempat tinggal akibat dirampas Israel.

Dalam pada itu Wartawan Al Jazeera, Hoda Abdel Hamid berkata, peserta larian memakai kemeja-T yang tertulis nombor ‘7,850’, merujuk pada jumlah penduduk yang diusir di bandar itu.

Hoda berkata, pasukan keselamatan Israel menyerang peserta larian dengan peluru pegun untuk menyuraikan mereka, meskipun acara berkenaan berjalan dengan tenang.

“Golongan muda yang menyertai acara itu sekadar menyanyi, bersorak dan bergembira kerana berjaya menamatkan maraton,” katanya.

Sementara itu menerusi akaun Twitter Jalal Abu Khater, dia memuat naik beberapa keping gambar selepas cedera dipukul oleh tentera rejim selepas menyertai acara larian itu.

Jalal Abu Khater menunjukkan kecederaan yang dialaminya akibat dipukul tentera rejim

Katanya, peserta berlari sejauh 3.5 km sebagai solidariti terhadap penduduk Palestin di Silwan yang berhadapan dengan pengusiran dan penghapusan etnik.

“Secara tiba-tiba kami diserang oleh polis Israel di garisan penamat yang mana ketika itu peserta sedang berkumpul sambil menghilangkan dahaga dan bernyanyi.

“Mereka menggunakan keganasan untuk menyerang kami, memukul, menyembur gas pemedih mata dan membaling bom tangan pegun,” ciapnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here