PPIM buat laporan polis terhadap KKM

0
902
Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan ketika berkongsi ilmu dan pengalaman pada Konvensyen Kewangan Keusahawanan Islam di Kampus Brainy Bunch, Cyberjaya.

CYBERJAYA – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) semalam membuat laporan polis terhadap Kementerian Kesihatan (KKM).

Laporan itu susulan keengganan KKM menggunakan Ivermectin sebagai rawatan bagi mencegah penularan pandemik Covid-19.

Laporan polis itu dibuat kira-kira pukul 11 pagi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi yang turut dihadiri Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan.

PPIM dalam satu kenyataan memaklumkan laporan itu dibuat sebagai inisiatif inklusif pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu dalam memperjuangkan hak pengguna.

“PPIM melihat seakan tiada kompromi daripada pihak atasan dalam mempertimbangkan kaedah dan rawatan alternatif sebagai usaha mencegah penularan Covid-19.

“Keengganan KKM dalam mempertimbangkan keberkesanan penggunaan Ivermectin adalah satu kesalahan jenayah.

“Walaupun KKM sudah mendapat nasihat dan surat daripada doktor pakar di Malaysia mengenai Ivermectin, namun keengganan KKM seakan menjadi persoalan kepada seluruh rakyat,” kata PPIM.

Menurut PPIM,  sudah banyak kajian klinikal membuktikan keberkesanan Ivermectin dalam mengurangkan risiko jangkitan sebanyak 88 peratus dan kemampuannya mengurangkan kadar kematian sebanyak 83 peratus.

“Selain itu sudah banyak juga percubaan prophylaxis menunjukkan pengurangan yang menggalakkan penyebaran virus ini,” katanya.

Kenyataan itu turut menjelaskan, ketika ini jumlah kematian akibat Covid-19 semakin bertambah setiap hari dan jika lebih lambat, ia sudah pasti membimbangkan banyak pihak.

“Kita seharusnya bersikap terbuka dan menerima pandangan daripada pihak lain selagi ia terbukti berkesan bagi mencegah penularan Covid-19 ini,” katanya.

Justeru, PPIM menggesa kerajaan dan pihak KKM bersedia untuk membuat kajian lanjut dan menerima kaedah rawatan penggunaan Ivermectin dengan membangunkan protokol rawatan yang selamat secara menyeluruh.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here