Program Kembali Kepada Sunah bawa umat Islam hayati sunah Rasulullah SAW

0
92
Pengasas Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim

CYBERJAYA – Sebuah program bersiri bertajuk Kembali Kepada Sunah Rasulullah SAW akan disiarkan oleh Kumpulan Malakat menerusi platform media sosial miliknya bagi mengajak orang ramai kembali mengamalkan gaya hidup nabi dalam setiap aspek kehidupan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malakat, Mohd Fadzil Hashim berkata, program tersebut merupakan kesinambungan daripada program Kembali Kepada Allah yang disiarkan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 pada awal tahun ini.

Beliau berkata, menerusi program kali ini, pihaknya menerusi Unit Dakwah akan menyiarkan program berbentuk kuliah agama selama 30 minit pada setiap hari.

“Kali ini kita akan tawarkan program embali kepada sunah, bagaimana cara nak kembali kepada Allah? Caranya tidak lain ialah kembali kepada sunah.

“Semalam saya sudah bincang dengan ‘team’ untuk bagaimana kembali kepada sunah dalam tempoh PKP ini, perkara yang paling cepat kita kena buat ialah kembai kepada pemakanan sunah ataupun pemakanan mengikut cara nabi, dan di situ kita dapat tingkatkan antibodi badan untuk melawan penyakit,” katanya dalam siaran langsung Facebook Live hari ini.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Coach Fadzil berkata, selain itu, turut diajar dan ditekankan ialah perkara sunah yang mudah dilakukan tetapi sudah lama tidak diamalkan.

Antaranya, katanya, ialah adab memasuki tandas, makan, tidur dan sebagainya.

Malah, katanya, dalam soal pemakanan juga Rasulullah telah mengajar umatnya supaya makan makanan yang halal serta makan apabila perlu dan berhenti sebelum kenyang.

“Kalau ikut sunah pemakanan nabi, baginda makan sekali atau dua kali sahaja sehari, kebanyakan masa nabi berpuasa dan ketika bersahur baginda hanya makan kurma. Makanan utama baginda hanya sekali dan berbuka baginda makan sekadar untuk keperluan,” katanya.

Sementara itu, Coach Fadzil berkata, amalan sunah juga perlu diperbanyakkan kerana di dalamnya terdapat banyak manfaat terutamanya dalam memahami agama Islam.

“Kenapa kita perlu buat? Ini kerana apabila kita ikut sunah nabi di situ akan ada kejayaan di dunia dan akhirat. Kita kena yakin sebab di muka bumi kejayaan kita apabila berjaya melaksanakan dan dapat mengamalkan agama secara sempurna iaitu dengan taat kepada Allah secara sepenuhnya serta meninggalkan segala larangannya.

“Pada masa sama, kembali kepada sunah juga adalah cara untuk kita kuatkan segalanya. Kuatkan jiwa, badan, dan apa sahaja yang kita sedang usahakan seperti perniagaan dan sebagainya kerana di situ ada kejayaannya,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here