Punca kebakaran stor IPD Sentul masih dalam siasatan, tidak melibatkan barang kes

0
26
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim-Gambar Fail

KUALA LUMPUR – Punca insiden kebakaran membabitkan stor logistik di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, Jalan Ipoh, di sini, semalam masih dalam siasatan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, siasatan awal mendapati stor itu digunakan untuk menyimpan barangan lama seperti kerusi dan meja untuk dilupuskan.

Beliau berkata, stor berkenaan juga ada menempatkan barang penyelenggaraan tanaman seperti baja dan kebakaran itu tidak membabitkan barang kes.

“Anggota bomba yang hadir ke lokasi mengambil masa singkat untuk memadam kebakaran berkenaan.

“Ketika ini, polis dalam proses untuk mendapatkan laporan analisa daripada pihak bomba untuk tindakan lanjut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur hari ini.

Terdahulu, media melaporkan kebakaran di stor itu turut mengakibatkan dua motosikal dan sebuah bot gentian kaca musnah.

Pusat Gerakan Operasi Bomba Kuala Lumpur dipetik berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 11.57 malam.

Susulan itu, seramai 15 anggota menaiki tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sentul serta BBP Titiwangsa dikejarkan ke lokasi kejadian.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here