Pusat refleksologi dikompaun RM10,000 kerana beroperasi ketika PKP

0
84
Lima individu termasuk tiga wanita warga asing yang juga tukang urut berumur antara 23 dan 53 tahun ditahan.Gambar ehsan Polis Melaka

MELAKA – Sebuah pusat refleksologi di Taman Melaka Raya dikenakan kompaun sebanyak RM10,000 kerana beroperasi ketika sekatan penuh pergerakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri Asisten Komisioner, Mohd Sukri Kaman berkata, dalam operasi pukul 3 petang semalam itu, lima individu telah ditahan.

“Dalam serbuan yang dilakukan kira-kira jam 3 petang semalam, lima individu termasuk tiga wanita warga asing yang juga tukang urut berumur antara 23 dan 53 tahun ditahan.

“Dua daripada tukang urut itu ialah warga Thailand serta seorang warga Laos, manakala pemilik dan penjaga premis pula lelaki tempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Sukri, semasa menjalankan Op Pematuhan prosedur operasi standard (SOP), premis ini didapati beroperasi seperti biasa dengan membuka pintu hadapan khas untuk pelanggan tetap yang mana mereka perlu membuat tempahan melalui telefon.

“Pemilik premis yang berada di tingkat satu lot rumah kedai ini memberikan alasan terpaksa berbuat demikian demi kelangsungan hidup termasuk membayar sewa kedai dan sebagainya.

“Polis merampas buku catatan rekod pekerja dan juga pasport wanita-wanita yang ditahan. Semakan dilakukan turut mendapati dua daripada tukang urut itu tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah kerana pasportnya sudah tamat tempoh.

“Kesemua wanita warga asing itu disiasat mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana salah guna pas dan Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal lebih masa,” tambahnya.

Mohd Sukri berkata, selain pemilik pusat urut yang dikompaun RM10,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) SPP, penjaga premis berusia 53 tahun turut dikompaun RM2,000 mengikut Perkara 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here