
KUALA LUMPUR – Selepas seminggu menerima sembah mengadap para pemimpin politik negara, Istana Negara hari ini sekali lagi menjadi tumpuan susulan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu yang diadakan petang ini.
Sidang yang dijadualkan berlangsung pada pukul 2.30 petang ini dijangka merumuskan pandangan Raja-Raja Melayu bersama Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah terhadap pembentangan pandangan oleh 18 pemimpin politik negara.
Antara agenda utama yang dijangka diberi keutamaan adalah mengenai usaha membendung pandemik Covid-19 dan isu pentadbiran negara berikutan Perintah Darurat yang dilaksanakan sejak 12 Januari lalu.
Semalam, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin memaklumkan Perbincangan Khas itu diadakan atas inisiatif serta keprihatinan tinggi Seri Paduka demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat.

Sembah menghadap para pemimpin negara pada 9 Jun lalu bermula dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan juga Presiden Amanah, Mohamad Sabu.
Sehari berikutnya, sesi mengadap disusuli dengan pemimpin Pas yang diwakili Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong; Pengerusi Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal.
Turut hadir mengadap adalah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden MIC, Tan Sri AS Vigneswaran juga selesai menghadap pada Jumaat
Pertemuan itu merupakan perbincangan kali kedua seumpamanya yang diadakan antara pemimpin politik dengan Al-Sultan Abdullah sejak baginda menaiki takhta.
