Raja-Raja Melayu perlu pilih Perdana Menteri baharu

0
518
Istana Negara

CYBERJAYA – Raja-Raja Melayu perlu memilih Perdana Menteri yang baharu untuk mengetuai kerajaan bagi menyelamatkan negara daripada krisis penularan Covid-19.

Raja-Raja Melayu bertanggungjawab memainkan peranan keperlembagaan itu selepas Dewan Rakyat berdepan kesukaran memilih Perdana Menteri.

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, Dewan Rakyat tidak boleh menentukan Perdana Menteri walaupun ditauliahkan oleh Perlembagaan Persekutuan kerana pada masa ini ia tidak berfungsi secara menyeluruh.

“Sebahagian daripada wakil rakyat mempunyai kepentingan kewangan (sama ada secara terbuka atau pun secara senyap) dan hilang kelayakan mengikut Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952.

“Dewan Rakyat juga kini dalam keadaan tergantung dan tiada pihak mempunyai majoriti untuk membuat keputusan. Ada ahli-ahli Parlimen yang tidak menepati peruntukan Perlembagaan berkaitan dengan pemilihan mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut  Tengku Razaleigh, peranan memilih Perdana Menteri itu timbul selaras dengan sumpah jawatan Yang di-Pertuan Agong di hadapan Raja-Raja Melayu yang memilih baginda mewakili Majlis Raja-Raja Melayu.

“Tanggungjawab ini memerlukan pemilihan seorang pemimpin tanpa kepentingan peribadi, parti politik mahu pun pertimbangan peribadi.

“Pemimpin yang dipilih harus mampu memahami keadaan semasa negara yang berhadapan krisis akibat covid-19 untuk memimpin sebuah kerajaan yang boleh mengatasi krisis itu,” katanya.

Sumpah jawatan Yang di-Pertuan Agong itu antara lain menyebut tentang peranan institusi itu dalam mempertahankan kedaulatan undang-undang dan keamanan negara.

Sebelum ini, Istana Negara memaklumkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah akan membawa kepada Raja-Raja Melayu semua pandangan yang disuarakan oleh ketua-ketua parti politik kepada baginda sejak seminggu lalu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here