Raja-raja Melayu titahkan darurat perlu ditamatkan selepas 1 Ogos

0
240
Istana Negara

CYBERJAYA – Raja-raja Melayu bersependapat bahawa tidak ada keperluan bagi kerajaan terus meletakkan negara di bawah pemerintahan darurat selepas 1 Ogos ini.

Menurut Penyimpan Mohor Besar Raja-raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad, raja-raja Melayu juga bersependapat bahawa nyawa dan kehidupan rakyat wajib diutamakan mengatasi perkara-perkara lain.

“Program vaksinasi hendaklah dipertingkatkan dengan mengurangkan kerenah birokrasi agar mencapai matlamat imuniti kelompok 80 peratus secepat muungkin.

“Program menangani wabak Covid-19 hendaklah difahami serta mendapat sokongan rakyat tanpa menimbulkan sebarang keraguan dan tanpa dianggap mempunyai sebarang muslihat politik yang terselindung,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Raja-raja Melayu

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah menyambut undangan raja-raja Melayu di Istana Negara petang tadi bagi membincangkan situasi terkini negara.

Dalam pada itu, Syed Danial berkata, raja-raja Melayu juga bertitah supaya kaedah menangani wabak penyakit itu perlulah bersifat inklusif, melibatkan pelbagai pihak berkepentingan dalam semangat sedia mendengar, sedia mempelajari, sedia melakukan pengubahsuaian, sedia melakukan penambahbaikan dan sedia melakukan penerokaan baharu.

Pada masa sama, katanya, raja-raja Melayu turut menggesa supaya suhu politik negara yang semakin panas wajib diredakan dan bersependapat bahawa pentingnya sebuah kerajaan yang stabil dan mendapat keyakinan serta sokongan majoriti rakyat.

Sementara itu, Syed Danial berkata, bagi mewujudkan tadbir urus yang telus, berintegriti dan bertanggungjawan, raja-raja Melayu menyokong pendirian Yang di-Pertuan Agong supaya Parlimen segera bersidang.

“Di peringkat negeri raja-raja pemerintah turut berpendirian agar dewan undangan negeri dibolehkan bersidang secepat mungkin.

“Kaedah dan prosedur persidangan seperti yang sedang diamalkan di beberapa negara yang terbukti dapat mengawal rangkaian jangkitan virus Covid-19 wajarlah diperkenalkan dan diterima pakai di negara ini,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here