Ramai terlepas pandang, dana politik pun dikenakan cukai sekiranya…

0
149
Gambar hiasan

KEBELAKANGAN ini heboh semula dalam kalangan penyokong parti politik membicarakan mengenai isu sumbangan atau derma kepada parti politik adakah dikenakan cukai oleh kerajaan atau sebaliknya.

Ada yang menyatakan derma dan dana politik dikenakan cukai. Namun ada yang sanggup bertegang leher menegakkan hujah mereka bahawa dana parti politik tidak dikenakan cukai.

Bagi golongan ini, sudah pasti mereka akan memetik kenyataan Tan Sri Dr. Mohd Shukor Mahfar, mantan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada satu ketika dahulu yang diminta mengulas isu derma politik ini.

Pendek kata pelbagai hujah dikeluarkan oleh mereka tanpa kita dapat sahkan kebenarannya sehinggalah isu ini telah dibangkitkan melalui soalan bertulis oleh Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan dalam Sidang Dewan Rakyat pada bulan Julai tahun lalu.

Artikel ini akan cuba mengupas jawapan daripada Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz terhadap pertanyaan bertulis Ahli Parlimen Pontian tersebut.

Dalam kupasan ini beberapa persoalan akan dibincangkan iaitu adakah dana politik yang diterima oleh parti politik boleh dikenakan cukai? Apa akan berlaku seandainya derma politik itu disumbangkan terus kepada individu atau seseorang ahli politik secara peribadi? Serta adakah pendapatan dan dana yang diterima dari luar negara juga boleh dikenakan cukai?

Sebelum kita menjawab isu-isu ini, elok kiranya penulis nyatakan bahawa sebagai sebuah agensi kerajaan yang diamanahkan untuk memungut hasil cukai langsung negara, sudah pasti LHDN akan bertindak melaksanakan aktiviti taksiran dan pungutan cukai berdasarkan Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967) serta akta-akta lain yang berada di bawah pentadbirannya.

Jika dirujuk kepada ACP 1967 jelas menyenaraikan kategori pendapatan yang boleh dikenakan cukai dan secara ringkasnya menggambarkan bahawa di Malaysia, setiap pendapatan yang terakru atau diperolehi atau terbit dari negara ini akan dikenakan cukai pendapatan.

Malah, menurut ACP 1967 juga, adalah menjadi kesalahan yang serius sekiranya wujud unsur-unsur menyembunyikan pendapatan dan dengan sengaja tidak mengisytiharkan amaun cukai salah kepada kerajaan.

Sekiranya didapati bersalah oleh mahkamah, pembayar cukai tersebut bukan sahaja boleh dikenakan denda sehingga RM20,000 dan penalti cukai yang tinggi iaitu sehingga 300 peratus, malah mereka juga boleh dipenjarakan sehingga tempoh tiga tahun.

Justeru, timbul persoalan adakah dana politik yang diterima oleh parti politik boleh dikenakan cukai? Apa akan berlaku seandainya derma politik itu disumbangkan terus kepada individu atau seseorang ahli politik secara peribadi dan adakah pendapatan dan dana yang diterima dari luar negara juga boleh dikenakan cukai?

Berdasarkan jawapan oleh Menteri Kewangan di Parlimen bertarikh 21 Julai 2020 berkenaan isu ini, beliau menjelaskan bahawa semua pendapatan (termasuk sumbangan derma politik) yang diterima oleh persatuan (parti) politik adalah dikecualikan daripada cukai pendapatan selaras dengan Perintah Cukai Pendapatan (Pengecualian) (No 22) 2002 – PU(A) 208/2002 (Perintah Pengecualian) yang berkuat kuasa mulai Tahun Taksiran 2001.

Sebagai tambahan, Perintah pengecualian ini diberikan oleh Menteri Kewangan berdasarkan kepada seksyen 127(3)(b) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Namun demikian, dalam perenggan pertama jawapan itu, Menteri Kewangan juga ada menyatakan, sekiranya derma atau dana politik itu disumbangkan terus kepada mana-mana pihak selain daripada parti politik, maka perintah pengecualian tersebut tidak terpakai.

Dengan lain perkataan individu yang menerima derma atau dana politik daripada sesuatu pihak (selain daripada parti politik) boleh dikenakan cukai kerana derma atau dana yang diterima secara peribadi itu boleh dikira sebagai sebahagian pendapatannya.

Walaubagaimanapun, pada perenggan ketiga jawapan bertulis Menteri Kewangan tersebut, beliau tetap mengiktiraf peranan yang dimainkan oleh seseorang ahli politik dalam menjaga kebajikan rakyat dan menjalankan aktiviti parti politik mereka dengan memberikan pengecualian cukai terhadap apa-apa dana yang mereka terima daripada akaun parti politik yang telah menikmati pengecualian cukai pendapatan.

Maknanya, jika ahli politik mahu dana politik yang mereka terima itu dikecualikan daripada cukai pendapatan, mereka hendaklah memastikan dana tersebut datangnya daripada parti politik dan bukannya daripada selain parti politik!

Adakah pendapatan dan dana yang diterima dari luar negara juga boleh dikenakan cukai?

Memang benar sejak tahun taksiran 2004, pendapatan yang diperoleh dari luar Malaysia dan diterima di Malaysia oleh seseorang individu yang bermastautin dan diremitkan ke Malaysia dikecualikan daripada cukai pendapatan.

Pengecualian ini juga boleh dirujuk pada Perenggan 28, Jadual 6 ACP 1967, iaitu pendapatan dari luar Malaysia adalah dikecualikan daripada cukai. Dalam hal ini, fakta setiap kes yang berbeza akan menentukan sama ada suatu pendapatan itu diperolehi daripada luar negara atau tidak.

Fakta yang sering diambil kira dalam menentukan sama ada pendapatan dari luar negara itu dikecualikan cukai atau tidak ialah kewujudan aktiviti yang dijalankan oleh pembayar cukai di luar negara yang menghasilkan pendapatan yang diterima.

Misalnya, jika aktiviti perkhidmatan diberikan di luar Malaysia dan pendapatan daripada perkhidmatan tersebut diremitkan kembali ke Malaysia, pendapatan yang diremitkan itu dikecualikan di bawah perenggan 28 Jadual 6 Akta Cukai Pendapatan 1967.

Contoh lain ialah jika sejumlah wang disimpan di luar negara dan menghasilkan pendapatan faedah, faedah yang dibawa atau diremit balik ke Malaysia juga layak menikmati pengecualian tersebut.

Bagi membuktikan suatu pendapatan adalah dijana daripada aktiviti yang dijalankan di luar negara, pembayar cukai itu perlu mengemukakan bukti yang berkaitan. Jika tiada bukti atau keterangan yang boleh menyokong sumber pendapatannya di luar negara, maka pembayar cukai tersebut tidak layak mendapat pengecualian cukai.

Kesimpulannya, setiap pembayar cukai yang mempunyai pendapatan yang boleh dikenakan cukai hendaklah melaporkan pendapatan yang mereka terima dan seterusnya membayar cukai yang dikenakan bagi mengelakkan mereka dikenakan tindakan undang-undang.

Bagi derma atau politik pula, parti politik hendaklah memastikan agar semua penerimaan derma atau dana tersebut dikreditkan ke dalam akaun parti politik dan bukannya disumbangkan ke akaun peribadi ahli politik. Cara ini dilihat lebih telus dan mempunyai tadbir urus yang baik kerana sudah pasti setiap transaksi akan direkodkan dengan lengkap dan rapi.

Sebagai parti politik yang berwibawa prinsip keluhuran undang-undang seharusnya sentiasa menjadi amalan apatah lagi ahli-ahli mereka juga ada yang menjadi wakil di Parlimen dan bertanggungjawab dalam menggubal undang-undang negara.

Maka sewajarnyalah mereka terlebih dahulu perlu mengamalkan undang-undang yang telah mereka gubal bagi menunjukkan teladan yang baik kepada rakyat terbanyak.

Oleh: Sabri Rahmat

Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan Malakat Tribune

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here