Rejim Israel kembali serang Semenanjung Gaza

0
251
Serangan udara rejim Israel di Semenanjung Gaza

GAZA – Tentera rejim Israel kembali melancarkan serangan udara ke atas Semenanjung Gaza sekitar pukul 1 pagi (waktu tempatan) hari ini.

Menurut laporan AFP, itu merupakan serangan pertama selepas kerajaan campuran baharu mengambil alih tampuk pemerintahan Israel.

Serangan udara itu tercetus hanya beberapa minggu selepas konflik 11 hari antara kedua-dua belah pihak berakhir.

Bunyi  letupan kedengaran di beberapa lokasi di Gaza dan stesen radio Hamas menyatakan, serangan itu menyasarkan sebuah kem latihan pejuang Palestin.

Tentera Rejim Zionis tidak mengesahkan serangan udara tersebut dan belum mengeluarkan sebarang kenyataan mengenainya. 

Beberapa laporan yang belum disahkan turut menyebut bahawa serangan berlaku di sekitar Khan Younis di Gaza. 

Serangan udara baharu itu dilancarkan sebagai membalas gelombang serangan belon api ke selatan Israel dari beberapa lokasi di Gaza.

Serangan belon api itu dikatakan mencetuskan sekurang-kurangnya 20 kejadian kebakaran.

Belon api itu dilepaskan semasa  kira-kira 1,000 penduduk Yahudi berarak di Kota Lama Baitulmuqaddis semalam sempena menyambut kemenangan Rejim Zionis menakluki Baitulmuqaddis Timur dalam Perang Enam Hari pada tahun 1967.

Perarakan penuh kontroversi itu mendapat tentangan rakyat Palestin.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here