
BAITULMAQDIS – Pihak berkuasa rejim Israel menembak mati seorang doktor wanita Palestin dengan tuduhan melakukan rempuhan kereta dan cuba menikam pihak berkuasa di bahagian tengah Semenanjung Gaza.
Kenyataan tentera Israel mendakwa kejadian yang berlaku berhampiran Hizme, kira-kira 7 kilometer dari kota lama Al-Quds, pagi semalam.
Dalam kejadian itu, doktor Palestin berusia 29 tahun, Dr Mai Yousef Afaneh, dikatakan telah ditembak dan diseret keluar dari kereta dipandunya dan dibiarkan mati.
Pihak berkuasa tentera juga dikatakan tidak membenarkan sebarang bantuan perubatan diberikan kepada mangsa semasa insiden itu berlaku.
Pada Sabtu lalu, pasukan tentera Israel menikam seorang wanita Palestin atas tuduhan cuba melakukan serangan menggunakan pisau di pos kawalan Qalandia.
Sama seperti doktor malang di Hizme, wanita yang dikenali sebagai Ibtesam Khaled Kaabneh, 27, itu turut dibiarkan mati ditempat kejadian.
Kejadian tembakan jarak dekat oleh tentera Israel semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini sebagai tekanan terhadap penduduk Palestin.
